Peranan antibodi monoklonal alemtuzumab untuk rawatan orang dengan leukemia limfositik kronik

Leukemia limfositik kronik (CLL) ialah sejenis kanser dan merangkumi 25% dari kesemua leukemia. Penyakit ini merupakan kanser sistem limfa yang paling lazim di negara Barat dan dicirikan oleh perjalanan klinikal dan prognosis yang sangat berubah-ubah. Sesetengah pesakit mungkin mempunyai simptom yang minima ataupun tiada simtom untuk beberapa tahun dengan jangka hayat yang normal, tanpa memerlukan rawatan. Yang lainnya adalah simptomatik semasa diagnosis atau sebaik selepas diagnosis dan boleh mengalami komplikasi jangkitan dan autoimun, membawa kepada pengurangan jangka hayat. Rawatan standard termasuk kemoterapi dengan satu atau lebih agen-agen. Kini antibodi monoklonal ditambah, terutamanya alemtuzumab dan rituximab. Walaubagaimanapun, impak agen-agen ini masih tidak jelas, kerana terdapat pemanjangan survival keseluruhan, tetapi juga berisiko untuk jangkitan yang teruk dalam kajian klinikal tidak rawak. Dalam ulasan sistematik ini kami ringkaskan dan menganalisis bukti daripada kajian rawak terkawal (RCT) ke atas keberkesanan dan keselamatan alemtuzumab dalam rawatan CLL. Kami mencari beberapa pangkalan data yang penting seperti CENTRAL, MEDLINE dan EMBASE dan mendapati lima RCT yang memenuhi kriteria kemasukan yang ditetapkan. Kami masukkan kajian yang membandingkan alemtuzumab dengan terapi lanjut atau dengan terapi anti-kanser dalam kalangan pesakit yang baru didiagnos atau pesakit dengan CLL berulang. Seramai 845 pesakit telah dirawat dalam lima kajian tersebut.

Dua percubaan menilai samada alemtuzumab lebih digemari berbanding dengan tiada terapi selanjutnya. Satu kajian melaporkan data tentang survival keseluruhan, menunjukkan kelebihan yang ketara bagi pesakit yang menerima alemtuzumab tambahan. Masa tanpa progresi bertambah baik dengan ketara secara statistik di dalam kedua-dua kajian dengan alemtuzumab, tetapi lebih ramai pesakit mendapat jangkitan, terutamanya jangkitan virus (jangkitan cytomegalovirus). Oleh kerana jangkitan yang teruk, satu kajian dihentikan awal.

Dua kajian menilai alemtuzumab berbanding rituximab. Kedua-dua kajian tidak melaporkan data survival atau survival tanpa relaps penyakit. Kami tidak mendapati perbezaan statistik yang ketara untuk respon kepada terapi atau untuk kematian semasa rawatan kajian. Satu kajian dihentikan awal kerana peningkatan mortaliti dalam kumpulan alemtuzumab.

Dalam kajian kelima alemtuzumab dibandingkan dengan kemoterapi (chlorambucil). Dalam kajian ini tiada perbezaan survival yang dapat dikesan sehingga penerbitan kajian yang terakhir. Alemtuzumab adalah signifikan secara statistik untuk menambahbaik survival tanpa relaps, masa ke rawatan relaps anti-kanser, dan juga kadar respon. Juga, lebih banyak jangkitan terjadi dalam kalangan pesakit yang dirawat dengan alemtuzumab, terutama jangkitan cytomegalovirus yang boleh membawa kepada jangkitan paru-paru dan retina.

Ringkasnya, bukti sedia ada mencadangkan kelebihan survival untuk alemtuzumab berbanding tiada terapi lanjutan, tetapi penambahan risiko jangkitan dan untuk cytomegalovirus secara umum.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information