Dawai arkus permulaan untuk menyusun gigi semasa rawatan ortodontik dengan aplians tetap

Rawatan ortodontik adalah meluas serata dunia dalam kalangan remaja dan orang dewasa untuk membetulkan kesesakan gigi, gigi terputar, tertanam atau terkeluar ke hadapan.Aplians ortodontik tetap (pendakap) terdiri dari braket yang dilekatkan kepada gigi dan disambung dengan dawai arkus yang memberi daya tekanan kepada gigi.Dawai arkus permulaan (awal) dimasukkan pada peringkat permulaan rawatan untuk membetulkan kesesakan dan gigi terputar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan pelbagai bahan baharu (aloi logam atau campuran nikel dan titanium (NiTi)) telah direka dan menunjukkan berbagai sifat di makmal dan para pengilang mendakwa bahan-bahan ini berfaedah untuk penyusunan gigi. Ujian klinikal untuk produk-produk ini bagi mereka yang menjalani rawatan ortodontik adalah perlu untuk mengetahui sama ada pelbagai jenis dawai arkus permulaan menghasilkan perbezaan penting seperti penyususan yang lebih cepat, kurang sakit atau mengurangkan kesan sampingan semasa rawatan ortodontik.Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane membuat ulasan kajian sedia ada untuk mengenalpasti dan menilai bukti kesan dawai arkus permulaan daripada pelbagai bahan, bentuk dan saiz keratan lintang bagi penyusunan gigi dengan pendakap ortodontik tetap terhadap kecepatan penyusunan, resorpsi akar dan intensiti sakit.

Carian kajian terkini telah dibuat pada 2 Ogos 2012. Kami mendapati sembilan kajian klinikal dengan 571 peserta yang masing-masing memakai aplians ortodontik tetap penuh di rahang atas dan/atau bawah.Kajian klinikal tersebut menilai pelbagai dawai arkus permulaan namun semua kajian tidak dijalankan dengan sempurna dan hasil kajian mungkin berat sebelah. Kesemua kajian berbeza dalam beberapa aspek rawatan ortodontik, membanding pelbagai jenis dawai arkus permulaan dan melapor pelbagai hasil pada masa yang berlainan. Tiada kajian klinikal yang melaporkan potensi faedah (penyusunan) dan mudarat (sakit atau kesan sampingan seperti resorpsi akar)Kajian-kajian tersebut tidak membuktikan bahawa bahan dawai arkus permulaan adalah lebih baik daripada yang lain bagi mereka yang menjalani rawatan ortodontik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save