Akupunktur untuk penghidap gangguan spektrum autisme(ASD)

Autisme (ASD) adalah gangguan perkembangan sepanjang hayat. Penghidap ASD mempunyai masalah tertentu dengan interaksi sosial dan komunikasi, dan mereka kekurangan fleksibiliti dalam pemikiran dan tingkah laku mereka. Untuk masa ini, tiada ubat untuk menyembuhkan ASD tetapi intervensi mungkin dapat menambah baik simptom-simptomnya. Akupunktur melibatkan penggunaan jarum atau tekanan pada kawasan-kawasan tertentu pada tubuh badan dan merupakan kaedah terapi yang penting dalam Perubatan Cina Tradisional. Ia juga semakin lazim digunakan di negara-negara Barat untuk pelbagai jenis penyakit. Akupunktur telah dianggap sebagai salah satu intervensi yang boleh menambah baik simptom-simptom ASD, tetapi ia tidak pernah dinilai secara terperinci sama ada ia berkesan dan selamat.

Kami ingin menilai keberkesanan dan keselamatan akupunktur untuk ASD dengan menilai semua kajian tentang akupunktur untuk ASD secara sistematik, di mana peserta kajian adalah diperuntukkan kepada kumpulan rawatan atau kawalan (plasebo, sham atau tiada rawatan) secara rawak, iaitu kajian-kajian terkawal rawak(RCTs). Baru-baru ini pada bulan September 2010, kami telah mencari 15 pangkalan data dan membaca tajuk-tajuk dan abstrak-abstrak untuk memastikan kami mengenal pasti semua kajian yang berkaitan. Kami mendapati 10 RCT untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini telah dijalankan di Hong Kong, tanah besar Cina dan Mesir, dan melibatkan 390 orang kanak-kanak yang berusia di antara tiga tahun dan 18 tahun.

Dua kajian yang membandingkan akupunktur jarum dengan akupunktur sham dan mendapati bahawa tiada perbezaan dari segi ciri-ciri teras autistik. Keputusan kajian ada mencadangkan bahawa akupunktur jarum mungkin berkaitan dengan peningkatan dalam bidang komunikasi dan keupayaan linguistik, fungsi kognitif dan kefungsian global.

Enam kajian telah membandingkan akupunktur jarum dan rawatan konvensional dengan rawatan konvensional sahaja. Mereka telah menggunakan pelbagai cara untuk mengukur ciri-ciri autistik teras dan kebanyakannya tidak menunjukkan bahawa akupunktur menyebabkan peningkatan dalam ciri-ciri ini. Namun, terdapat satu kajian yang melaporkan bahawa akupunktur jarum menyebabkan peningkatan markah dalam Senarai Semak Tingkah Laku Autisme(Autism Behavior Checklist). Tiada bukti bahawa akupunktur boleh meningkatkan kemajuan dalam bidang komunikasi dan keupayaan linguistik, tetapi ia mungkin bermanfaat untuk fungsi kognitif dan kefungsian global.

Dua kajian membandingkan akutekanan dan rawatan konvensional dengan rawatan konvensional sahaja dan mendapati bahawa tiada perbezaan dari segi ciri-ciri autistik teras, walau bagaimanapun, akutekanan seolah-olah dapat meningkatkan sebahagian daripada beberapa aspek hasil kajian sekunder.

Masalah yang dikenalpasti oleh ibubapa peserta kajian termasuk menangis sebab takut atau sakit, berdarah, gangguan tidur dan kenaikan hiperakitiviti. Ia adalah tidak jelas sama ada masalah-masalah tersebut adalah disebabkan oleh rawatan akupunktur. Separuh daripada kajian telah melaporkan beberapa kesan negatif tetapi tidak melaporkan berapa kerap atau betapa teruk kesan-kesan negatif ini dan kadang-kadang masalah ini berlaku dalam kedua-dua kumpulan rawatan dan kawalan. Tiada kajian yang dimasukkan menilai kualiti hidup.

Secara keseluruhannya, kelihatan bahawa akupunktur tidak berkesan untuk meningkatkan ciri-ciri teras ASD tetapi ia mungkin dapat meningkatkan hasil kajian tertentu dalam bidang perkembangan dan kefungsian, sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek.

Terdapat masalah dengan penilaian akupunktur disebabkan kualiti bukti. Bilangan kajian kecil dan semua kajian ini dijalankan dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, ada kemungkinan yang tinggi bahawa mereka mungkin telah berat sebelah disebabkan kaedah kajian yang digunakan tidak cukup ketat, terdapat pelbagai jenis peserta dan intervensi dalam kajian, laporan keputusan hasil kajian yang tidak konsisten dan tidak tepat dan jumlah analisis yang dijalankan banyak yang menyebabkan kemungkinan untuk menjumpai hasil kajian ketara secara kebetulan lebih tinggi.

Kesimpulannya, bukti semasa tidak menyokong penggunaan akupunktur sebagai rawatan untuk ASD. Kami memerlukan kajian-kajian berkualiti tinggi yang lebih besar dan yang dengan tempoh susulan yang lebih panjang, memandangkan banyak batasan dalam bukti pada masa ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com

Tools
Information
Share/Save