Akupunktur untuk sakit berkaitan kanser dalam kalangan orang dewasa

Latar Belakang

Sehingga 70% pesakit yang mengidap kesakitan kanser tidak mendapat kelegaan dari sakit yang mencukupi dan ini mengurangkan kualiti hidup mereka. Terdapat dakwaan akupunktur mempunyai peranan dalam pengurusan kesakitan kanser dan telah wujud garispanduan untuk rawatan kesakitan kanser menggunakan akupunktur.

Tujuan kajian

Pengarang-pengarang Cochrane Review mengambil keputusan untuk menilai bukti samada akupunktur adalah berkesan dalam mengurangkan kesakitan yang berkait langsung dengan perkembangan kanser.

Pencarian bukti

Kami telah mencari pengkalan-pengkalan data medikal elektronik secara meluas sehingga Julai 2015 untuk kajian-kajian yang berkaitan. Kami memasukkan kajian-kajian yang telah ditulis dalam mana-mana bahasa yang melibatkan orang-orang dewasa dan membandingkan rawatan dengan akupunktur dan tanpa rawatan untuk kesakitan kanser, atau rawatan biasa, atau akupunktur palsu, atau rawatan-rawatan lain. Oleh kerana kami hanya berminat dalam kajian yang berkualiti, kami menghadkan carian kepada kajian rawak yang terkawal (di mana penentuan kaedah-kaedah kajian terhadap peserta-peserta di lakukan secara rawak)

Penemuan kami

Kami menemukan lima kajian (yang melibatkan sejumlah 285 peserta) yang telah membandingkan akupunktur dengan akupunktur palsu ataupun ubat-ubat tahan sakit. Kesemua lima kajian yang dikenalpasti mempunyai saiz sampel yang kecil, yang mengurangkan kualiti bukti mereka.

Satu kajian rintis telah direka dengan baiknya, tetapi terlalu kecil untuk mengenalpasti apa-apa perbezaan kesakitan dalam kalangan wanita yang mempunyai kanser ovari selepas akupunktur-elektrik ataupun rawatan palsu. Satu kajian mendapati akupunktur aurikular (telinga) telah mengurangkan kesakitan kanser bila dibandingkan dengan akupunktur aurikular palsu yang telah diberikan di titik-titik selain titik-titik akupunktur. Walaubagaimanapun, mereka yang di dalam kumpulan akupunktur palsu mungkin telahpun menyedari bahawa mereka tidak berada dalam kumpulan akupunktur sebenar dan ini mungkin memberi kesan ke atas tahap kesakitan yang mereka laporkan. Satu lagi kajian mendapati perbezaan antara kumpulan akupunktur-elektrik dan kumpulan rawatan palsu dalam kalangan pesakit kanser pankreas tetapi sekali lagi, tidak ada laporan usaha bagi menyembunyikan maklumat kepada peserta tentang kumpulan mana mereka berada. Satu kajian mendapati akupunktur mempunyai keberkesanan yang sama seperti ubat tahan sakit, dan satu kajian mendapati akupunktur lebih berkesan daripada ubat-ubatan, tetapi kedua-dua kajian mempunyai reka-bentuk yang sangat lemah dan laporan-laporan kajian adalah kurang terperinci.

Kesimpulan

Tidak ada kajian-kajian di dalam ulasan ini yang cukup besar bagi menghasilkan keputusan yang boleh diyakini. Tidak ada kajian yang melaporkan sebarang kemudaratan ke atas peserta-peserta. Kami merumuskan yang bukti sedia ada tidak mencukupi untuk mengadili samada akupunktur adalah berkesan untuk melegakan kesakitan kanser dalam kalangan pesakit dewasa. Kajian lebih besar, dengan reka-bentuk yang baik adalah diperlukan untuk mengemukakan bukti dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Azhar Mohd. Yasin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information
Share/Save