Akupunktur untuk sindrom ovari polisistik

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan dan keselamatan rawatan akupunktur untuk rawatan gangguan ovulasi dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS)?

Latar belakang

PCOS ialah keadaan di mana wanita mempunyai sista kecil di ovari (organ yang menghasilkan telur) mereka dan dicirikan oleh tanda-tanda klinikal haid yang jarang-jarang sekali atau haid yang sangat sedikit (tempoh), kegagalan untuk hamil (mengandung) dan ketumbuhan rambut yang berlebihan. Rawatan perubatan barat standard yang terkini untuk wanita dengan PCOS adalah ubatan preskripsi, pembedahan dan perubahan gaya hidup. Terdapat bukti yang mencadangkan akupunktur mungkin mempengaruhi ovulasi (pembebasan telur) dengan mempengaruhi paras pelbagai hormon. Akupunktur adalah terapi China di mana jarum-jarum kecil dimasukkan ke dalam kulit di bahagian-bahagian tertentu. Berbagai kajian akupunktur yang bukan rawak (kajian eksperimen di mana pesakit dibahagikan kepada rawatan yang berbeza menggunakan kaedah bukan rawak) dalam PCOS mencadangkan kadar kesan sampingan yang rendah, tiada penambahan risiko kehamilan berganda (contohnya kembar) dan ianya secara perbandingan lebih murah untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, perlu ditekankan kesimpulan ini dibuat berdasarkan penemuan kajian terkawal bukan rawak sahaja dan, oleh itu, mungkin tidak menyokong dengan pasti keberkesanan dan penggunaan akupunktur dalam hal ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian rawak terkawal rawatan akupunktur (kajian klinikal di mana peserta ditempatkan secara rawak ke dalam satu dari dua kumpulan rawatan atau lebih) untuk wanita dengan PCOS yang jarang atau tidak pernah berovulasi. Akupunktur dibandingkan dengan akupunktur tiruan (sham), tiada rawatan, perubahan gaya hidup (contohnya relaksasi) dan rawatan konvensional (contohnya clomiphene, yang menyebabkan ovulasi).

Kami memasukkan lima kajian dengan 413 wanita dalam ulasan ini. Kajian-kajian membandingkan akupunktur sebenar dengan akupunktur tiruan (dua RCTs), clomiphene (satu RCT), relaksasi (satu RCT) dan akupunktur elektrik (di mana arus elektrik kecil dilalukan kepada jarum-jarum akupunktur) dengan senaman fizikal (satu RCT). Empat dari kajian-kajian tersebut berisiko bias tinggi (mungkin terdapat kesan sebenar yang terlebih anggar) di dalam sekurang-kurangnya satu bahagian yang dinilai. Keputusan adalah terkini sehingga Oktober 2015.

Keputusan-keputusan utama

Minat utama kami (hasil) adalah kadar lahir hidup dan ovulasi. Hasil sekunder kami termasuklah kehamilan klinikal dan kesan-kesan sampingan. Tiada kajian yang dimasukkan melaporkan kadar lahir hidup. Tiga kajian kecil telah melaporkan ovulasi. Satu kajian tidak melaporkan kadar ovulasi sepenuhnya. Satu kajian yang melibatkan 84 wanita menunjukkan tiada bukti perbezaan kadar ovulasi di antara akupunktur sebenar dengan akupunktur sham. Walaubagaimanapun, satu kajian yang melibatkan 28 wanita melaporkan bukti berkualiti sangat rendah yang mencadangkan akupunktur sebenar mungkin dikaitkan dengan kekerapan ovulasi yang lebih tinggi berbanding relaksasi. Dua kajian lain melaporkan akupunktur atau akupunktur elektrik mungkin dikaitkan dengan kekerapan pemulihan haid yang lebih tinggi.

Tiada bukti perbezaan kadar kehamilan antara akupunktur sebenar dengan akupunktur sham. Tiada bukti perbezaan kadar kesan sampingan di antara mana-mana kumpulan yang dibandingkan, tetapi data adalah terlalu sedikit untuk mencapai kesimpulan yang kukuh. Bukti berkualiti sangat rendah, kekangan utama adalah kegagalan untuk melaporkan hasil klinikal yang penting, dan ketidak tepatan kerana kesan yang berbagai dan bilangan kejadian yang rendah. Laporan kaedah kajian yang disediakan juga lemah. Pada masa ini bukti tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan akupunktur untuk rawatan gangguan / penyakit ovulasi dalam wanita yang mengalami PCOS.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti rendah, kekangan utama merupakan kegagalan untuk melaporkan hasil klinikal yang penting dan ketidaktepatan yang sangat serius.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information
Share/Save