Program aktiviti fizikal berasaskan sekolah untuk mempromosi aktiviti fizikal dan kecergasan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja antara 6 hingga 18 tahun

Dianggarkan sebanyak 1.9 juta kematian di seluruh dunia berpunca daripada tiada aktiviti fizikal, dan ketiadaan aktiviti ini merupakan faktor risiko utama dalam pembentukan kebanyakan penyakit kronik dan kanser. Hal ini agak membimbangkan terutamanya kerana telah diketahui bahawa corak aktiviti fizikal dikesan dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa.

Terdapat beberapa bukti yang mencadangkan bahawa intervensi aktiviti fizikal berasaskan sekolah berkesan dalam menambahkan bilangan kanak-kanak terlibat dalam aktiviti fizikal sederhana ke cergas serta berapa lama mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti tersebut. Selain itu, aktiviti ini dapat mengurangkan masa pelajar menonton televisyen.

Sorotan tinjauan ini merangkumi 44 kajian yang menilai impak intervensi berasaskan sekolah dalam meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan 36,593 kanak-kanak dan remaja. Peserta-peserta yang terlibat berumur antara enam hingga 18 tahun yang tinggal di Australia, Amerika Selatan, Eropah, China dan Amerika Utara. Tempoh intervensi adalah dari 12 minggu hingga enam tahun. Tidak terdapat dua program promosi aktiviti fizikal berasaskan sekolah yang mempunyai intervensi yang sama. Tambahan pula, tempoh, kekerapan dan keamatan intervensi adalah jauh berbeza dalam kajian-kajian tersebut. Lebih separuh dari kajian-kajian tersebut melaporkan kaedah pengumpulan data hasil kajian yang sah dan boleh dipercayai.

Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa aktiviti fizikal berasaskan sekolah adalah efektif dalam meningkatkan tempoh aktiviti fizikal dari lima hingga 45 minit sehari, mengurangkan masa menonton televisyen sebanyak lima hingga 60 minit sehari serta dapat menambahkan pengambilan oksigen maksima atau kapasiti aerobik, yang mencerminkan tahap kecergasan individu. Bukti-bukti tersebut juga mencadangkan bahawa kanak-kanak yang didedahkan kepada intervensi aktiviti fizikal berasaskan sekolah adalah tiga kali lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal sederhana hingga cergas pada hari sekolah berbanding dengan mereke yang tidah didedahkan. Pada tahap minimum, kombinasi cetakan bahan pembelajaran dan perubahan kurikulum sekolah yang menggalakkan aktiviti fizikal semasa waktu persekolahan memberi kesan yang positif terhadap hasil kajian. Intervensi berasaskan sekolah adalah tidak efektif dalam meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan remaja atau dalam mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik, kolesterol darah, indeks jisim badan serta bilangan nadi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Goh Chong Sheng, (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi susie_luckystar@yahoo.com.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan