Meningkatkan dos sedutan kortikosteroid atau meneruskan dos lazim untuk merawat serangan asma di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak

Mesej utama

Mereka yang mengikuti pelan tindakan untuk mengambil penyedut yang mengandungi penambahan dos sedutan kortikosteroid pada permulaan serangan asma berbanding dengan dos yang stabil berkemungkinan mendapat risiko yang sama bahawa asma mereka akan menjadi teruk dan memerlukan steroid secara oral. Manfaat dan mudarat lain tidak dapat dipastikan, tetapi secara keseluruhan, kajian yang menggunakan ‘penyedut yang tidak diketahui’ supaya peserta dan kakitangan tidak mengetahui siapa yang menerima peningkatan dos, tidak mengesyorkan manfaat kepada pesakit asma ringan dan sederhana. Perlu dimaklumkan bahawa keputusan yang lebih bagus untuk penghidap asma yang tidak dikawal dengan baik telah ditemui dalam beberapa kajian terbaru namun kajian-kajian tersebut tidak disertakan di dalam ulasan ini kerana penyedut terahsia (dos penyedut yang tidak diketahui oleh peserta dan pengkaji) tidak digunakan.

Apakah itu asma?

Asma adalah penyakit paru-paru kronik, yang mengakibatkan batuk, sesak nafas dan nafas berbunyi. Pesakit asma sering mengalami gejala yang bertambah teruk untuk jangka masa yang singkat, keadaan ini dikenali sebagai eksaserbasi ataupun ‘serangan’, serangan ini boleh jadi ringan ataupun teruk sehingga mengancam nyawa.

Mengapakah perkara ini penting bagi pesakit asma?

Serangan asma adalah menakutkan bagi pesakit asma dan selalunya memerlukan rawatan segera di rumah ataupun di hospital. Mengetahui cara terbaik untuk mengawal serangan asma pada tanda pertama gejala adalah penting bagi mengelakkan keperluan untuk steroid oral atau rawatan kecemasan di hospital.

Sedutan kortikosteroid adalah rawatan lazim untuk asma, yang diambil setiap hari untuk mengurangkan kebarangkalian serangan asma berlaku. Pelan tindakan bertulis diberikan kepada pesakit asma untuk memberitahu mereka tentang apa yang perlu dilakukan jika gejala mereka bertambah teruk, dan ini kadangkala mengesyorkan peningkatan dos sedutan kortikosteroid untuk jangka masa pendek bagi mengawal gejala.

Apa yang ingin kami ketahui?

Kami mengkaji sama ada meningkatkan dos sedutan kortikosteroid apabila gejala asma bertambah teruk dapat mengurangkan keperluan untuk rawatan lanjut, dan sekiranya terdapat sebarang mudarat dengan berbuat sedemikian.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari semua kajian yang membahagikan secara rawak pesakit asma yang mengambil sedutan kortikosteroid setiap hari untuk mengambil penyedut terahsia sekiranya gejala mereka bertambah teruk. Penyedut terahsia tersebut sama ada meningkatkan dos lazim sedutan kortikosteroid mereka atau meneruskan dos yang sama. Kami ingin mengetahui sama ada bilangan mereka yang mengambil peningkatan dos kurang berterusan mendapat serangan asma. Kami mengukur serangan asma dengan dua cara: mereka yang memerlukan rawatan steroid oral, dan mereka yang memerlukan rawatan segera di jabatan kecemasan atau di hospital. Kami juga mengkaji sama ada peningkatan dos sedutan kortikosteroid menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding dengan dos yang stabil.

Kami menjalankan pencarian yang luas, dan dua penyelidik menilai kajian-kajian secara berasingan untuk memutuskan sekiranya kajian tersebut patut dimasukkan. Kami merekod maklumat mengenai kajian, peserta dan strategi rawatan. Kami menggunakan kaedah terkini untuk menggabungkan keputusan dan menilai sejauh mana setiap keputusan kajian boleh dipercayai. Kami menilai setiap gabungan keputusan sebagai berkualiti tinggi, sederhana, rendah, atau sangat rendah, bergantung kepada tahap keyakinan kami yang ianya boleh dipercayai.

Apa yang kami dapati?

Kami menyertakan sembilan kajian terkawal secara rawak (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang terdiri daripada mereka yang menghidap asma ringan hingga sederhana. Lima kajian menyelidik peserta dewasa, dan empat menyelidik peserta kanak-kanak.

Mereka yang diberikan penyedut dengan peningkatan dos sedutan kortikosteroid adalah agak sama berisiko untuk bertambah teruk dan memerlukan rawatan kortikosteroid oral sebagaimana dengan mereka yang diberikan penyedut plasebo (rawatan palsu) atau dos lazim mereka. Kami mempunyai keyakinan yang sederhana terhadap keputusan utama ini, tetapi adalah lebih sukar untuk menentukan sama ada terdapat manfaat dengan peningkatan dos terhadap jenis rawatan tidak berkala yang lain (berjumpa dengan doktor atau pergi ke hospital) atau untuk mengurangkan tempoh serangan. Keputusan terhadap kesan sampingan menyarankan bahawa kemungkinan lebih selamat untuk pesakit meneruskan sedutan kortikosteroid yang stabil, tetapi kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap keputusan ini.

Apakah limitasi bukti?

Kajian berbeza-beza dari segi dos sedutan kortikosteroid yang diambil oleh peserta pada permulaan kajian, sebanyak manakah dos dinaikkan dalam kumpulan rawatan, bila dan bagaimana peserta dimaklumkan untuk memulakan rawatan penyedut, dan jenis ubatan lain yang dibenarkan untuk mereka ambil. Hanya kira-kira separuh daripada peserta benar-benar perlu mengambil penyedut kajian, dan apabila kami menumpukan hanya kepada peserta-peserta tersebut, nampaknya mungkin terdapat sedikit manfaat, tetapi keyakinan kami mengenainya sangat rendah kerana keputusan kajian adalah pelbagai dan terdapat risiko tinggi untuk bias.

Walaupun tidak ramai peserta perlu pergi ke hospital atau jabatan kecemasan semasa kajian berlangsung, perkara ini menyebabkan kami sukar mengetahui sekiranya peningkatan sedutan kortikosteroid dalam jangka masa pendek adalah berbaloi, dan keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah atau sangat rendah. Kajian-kajian tidak melaporkan mudarat secara konsisten, dan gabungan keputusan adalah sangat meragukan.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini setakat 20 Disember 2021, dan kajian yang dinilai telah diterbitkan di antara tahun 1998 hingga 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information