Madu untuk batuk akut dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Bolehkah madu mengurangkan gejala batuk yang disebabkan oleh bakteria dan virus dalam kalangan kanak-kanak?

Latar belakang

Batuk menyebabkan kebimbangan bagi ibu bapa dan merupakan sebab utama untuk lawatan pesakit luar. Madu dipercayai menghalang pertumbuhan kuman dan mengurangkan keradangan.

Tarikh carian

Kami mencari pangkalan data sehingga 8 Februari 2018 dan daftar kajian sehingga 12 Februari 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan enam kajian kecil yang melibatkan 899 kanak-kanak berusia 12 bulan hingga 18 tahun yang dijalankan di Iran, Israel, Amerika Syarikat, Brazil, dan Kenya. Kemas kini ini termasuk tiga kajian baharu yang dijalankan antara 2007 dan 2016 yang melibatkan 331 kanak-kanak.

Sumber pembiayaan kajian

Dua kajian telah disokong oleh pengilang farmaseutikal; satu oleh pusat penyelidikan universiti; satu oleh Lembaga Madu Israel dan agensi bukan kerajaan; dan satu oleh Lembaga Madu Kebangsaan AS. Satu kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Kami membandingkan madu dengan persediaan ubat batuk atas kaunter, bromelin (enzim nenas) bercampur dengan madu, rawatan palsu (plasebo), dan tiada rawatan.

Madu mungkin mengurangkan gejala batuk lebih daripada plasebo dan salbutamol (ubat yang membuka saluran udara paru-paru) apabila diberi sehingga tiga hari. Madu mungkin lebih berkesan dalam melegakan batuk dan mengurangkan kesan batuk kepada tidur kanak-kanak diwaktu malam daripada tiada rawatan.

Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara kesan madu dan dextromethorphan (bahan dalam ubat batuk atas-kaunter) atau madu dan bromelin bercampur madu bagi semua gejala batuk. Madu mungkin lebih baik daripada diphenhydramine (antihistamin) untuk melegakan dan mengurangkan batuk kanak-kanak.

Ibu bapa tujuh orang anak yang diberi madu dan dua yang diberi dextromethorphan melaporkan kesan sampingan kepada anak-anak mereka, seperti tidak tidur dengan mudah, kegelisahan, dan menjadi terlalu teruja. Ibu bapa kepada tiga anak dalam kumpulan diphenhydramine melaporkan bahawa anak-anak mereka sering mengantuk. Ibu bapa sembilan anak yang diberi salbutamol, tujuh yang diberi madu, dan enam diberi plasebo melaporkan cirit-birit. Ibu bapa kepada empat anak yang menerima salbutamol dan satu anak yang diberi madu melaporkan ruam.

Kami mendapati tiada bukti untuk atau tidak menggunakan madu untuk melegakan batuk dalam kalangan kanak-kanak. Menggunakan madu untuk bayi yang berumur sehingga 12 bulan tidak dinasihatkan kerana imuniti yang lemah terhadap bakteria yang mungkin hadir, yang boleh menyebabkan lumpuh. Kebanyakan kanak-kanak menerima madu hanya untuk satu malam, yang membataskan keputusan ulasan ini.

Kualiti bukti

Keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana. Beberapa kajian tidak membutakan peserta.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information