Penggunaan melatonin sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi

Latar belakang

Epilepsi adalah salah satu penyakit sistem saraf jangka panjang yang biasa, dan walaupun terdapat pelbagai ubat antiepileptik, 30% pesakit masih mengalami sawan. Laporan mencadangkan bahawa melatonin boleh berfungsi dalam epilepsi dengan profil keselamatan yang baik. Melatonin dihasilkan oleh badan dan dipreskripsikan oleh doktor untuk merawat gangguan tidur dan masalah seperti gangguan ritma harian.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang melibatkan penambahan melatonin kepada ubat antiepileptik lain (rawatan tambahan) berbanding ubat antiepileptik serta rawatan tambahan palsu (plasebo) atau tiada rawatan tambahan dalam kalangan pesakit epilepsi. Para peserta terdiri daripada sebarang umur atau jantina dan termasuk kanak-kanak dan orang dewasa yang kurang upaya. Kajian mengukur pengurangan sebanyak separuh kekerapan sawan, jumlah pesakit yang bebas sawan, kesan sampingan, dan peningkatan dalam kualiti hidup.

Keputusan utama

Kami menemui enam kajian melibatkan 125 peserta untuk ulasan ini. Kajian melaporkan dua perbandingan berbeza: melatonin berbanding plasebo dan melatonin 5 mg berbanding melatonin 10 mg.

Kajian yang disertakan tidak menilai kekerapan sawan, kebebasan daripada sawan, dan kejadian buruk dengan cara yang teratur. Hanya satu kajian melaporkan kekerapan sawan dan tiada peserta yang mengalami perubahan dalam kekerapan sawan semasa kajian berlangsung berbanding sebelum kajian. Hanya satu kajian menilai kesan melatonin terhadap kualiti hidup dan mendapati tiada peningkatan dengan penambahan melatonin berbanding penambahan plasebo.

Kualiti bukti

Kajian yang disertakan mempunyai metodologi yang lemah dan ianya tidak mungkin untuk membuat sebarang kesimpulan yang pasti tentang peranan melatonin dalam mengurangkan kekerapan sawan atau meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan pesakit epilepsi.

Bukti adalah terkini setakat Januari 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi

Tools
Information