Toksin botulinum untuk rawatan strabismus

Mesej utama
Bukti berkaitan faedah dan kemudaratan penggunaan toksin botulinum berbanding pembedahan untuk strabismus tidak dapat dipastikan berikutan kekurangan bukti yang kukuh.

Apakah yang pengulis ingin ketahui?
Pengulas ingin mengetahui sama ada toksin botulinum adalah lebih baik daripada pembedahan untuk merawat strabismus. Mereka juga ingin mengetahui sama ada toksin botulinum dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah strabismus?

Strabismus berlaku apabila kedudukan mata tidak sejajar. Kebiasaannya, satu mata menoleh ke dalam atau ke luar. Jarang berlaku satu mata menoleh ke atas atau ke bawah. Keadaan ini biasanya dikenali sebagai ‘juling’.

Strabismus boleh menyebabkan penglihatan kabur atau penglihatan berganda. Dalam kanak-kanak, ia boleh memberi kesan kepada perkembangan penglihatan jangka panjang pada mata yang terkesan. Terdapat banyak punca strabismus. Dalam kebanyakan kes, terdapat masalah dengan otot atau saraf di sekeliling mata.

Doktor boleh menggunakan toksin botulinum untuk menghentikan otot seseorang di sekeliling mata daripada berfungsi untuk seketika. Hal ini boleh membantu kedudukan mata menjadi lebih sejajar dan boleh mengurangkan penglihatan kabur atau berganda. Satu masalah dengan penggunaan toksin botulinum ialah ia boleh mengakibatkan kelopak mata terkulai (ptosis).

Apakah yang telah pengulas lakukan?

Pengulas membuat carian terhadap kajian yang membandingkan suntikan toksin botulinum dengan rawatan lain seperti pembedahan dalam kalangan individu dengan strabismus. Pengulas membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan mereka terhadap bukti yang ada berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah pengulas temui?
Pengulas menemui empat kajian dengan 242 orang dewasa dan kanak-kanak yang meghidap strabismus. Kajian yang terbesar melibatkan 110 orang kanak-kanak dan kajian yang terkecil melibatkan 30 orang. Kajian-kajian ini telah dijalankan di Kanada, Afrika Selatan dan Sepanyol. Dua kajian berlangsung selama enam bulan dan kajian yang paling lama berlangsung selama 36 bulan.

Ulasan ini menunjukkan berikut.

• Pembedahan strabismus mungkin memberikan peluang untuk memulihkan penjajaran mata yang lebih baik berbanding dengan rawatan toksin botulinum dalam kalangan orang yang memerlukan rawatan primer atau rawatan semula untuk strabismus.

• Orang yang dirawat dengan toksin botulinum mungkin lebih kerap memerlukan rawatan semula dengan pembedahan daripada individu yang dirawat dengan pembedahan.

• Penggunaan toksin botulinum mungkin tidak memberi sebarang perbezaan dalam mencapai fungsi binokular (keupayaan untuk fokus terhadap objek dengan kedua-dua mata dan melihat satu imej); dan
• Ptosis (kelopak mata yang terkulai di atas mata) biasanya berlaku dalam orang yang menerima toksin botulinum dalam kajian terbabit. Bilangan orang yang terjejas adalah daripada 2 hingga 4 dalam 10 orang. Semua orang pulih apabila rawatan dihentikan.

Apakah batasan bukti?

Pengulas mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti yang ada kerana bilangan kajian yang tidak mencukupi bagi memastikan keputusan hasil ulasan mereka, kajian yang dijalankan adalah kecil dan kajian-kajian ini tidak direkabentuk dan dijalankan dengan baik.

Sejauh manakah terkininya ulasan ini?
Penyelidik Cochrane telah membuat carian ke atas kajian yang telah diterbitkan sehingga 6 Julai 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information