Penambahan makanan dan cecair awal di kalangan bayi sihat yang lahir cukup bulan dan mangamalkan penyusuan susu ibu

Apakah isu yang berkaitan?

Di peringkat antarabangsa, penyusuan susu ibu secara eksklusif untuk tempoh enam bulan pertama kehidupan adalah disyorkan tetapi amalan memberi bayi cecair dan/atau makanan lain sebelum enam bulan adalah perkara biasa yang diamalkan di banyak negara dan masyarakat.

Mengapakah ini penting?

Memandangkan ramai bayi yang tidak mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan, maka adalah penting untuk meneliti faedah atau risiko yang mungkin berkaitan dengan pemberian cecair selain daripada susu ibu atau makanan pelengkap kepada kalangan bayi yang mengamalkan penyusuan susu eksklusif dalam tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran.

Apakah bukti yang kami jumpai?

Ulasan ini merangkumi 11 kajian rawak yang melibatkan 2542 bayi.

Pemberian bayi sejumlah kecil susu 'artificial' untuk beberapa hari selepas kelahiran sebagai penambahan kepada susu ibu tidak menjejaskan bilangan bayi dengan apa-apa penyusuan susu ibu apabila keluar hospital namun meningkatkan sedikit kemungkinan penyusuan susu ibu pada usia tiga bulan. Tiada perbezaan di antara tahap keyakinan ibu dalam kumpulan. Penggunaan susu 'artificial' sebelum penyusuan susu ibu mempunyai sedikit kesan perlindungan terhadap simptom alahan pada usia 18 bulan berbanding dengan penyusuan susu ibu eksklusif. Walau bagaimanapun, kajian tersebut tidak melaksanakan cabaran diagnostik atau ujian lain untuk mengesahkan kesan pelindungan tersebut. Oleh demikian, perlulah berhati-hati dalam tafsiran.

Kemungkinan bayi meneruskan penyusuan susu ibu adalah lebih tinggi dalam kumpulan penyusuan susu ibu secara eksklusif berbanding dengan kumpulan yang diberikan air tambahan atau air glukos dalam beberapa hari selepas kelahiran. Tiada bukti manfaat yang berkaitan dengan paras glukos, suhu atau berat badan di kalangan bayi baru lahir yang mengamalkan penyusuan susu ibu dan diberi air tambahan atau air glukos.

Bayi yang mengamalkan penyusuan susu ibu yang menerima makanan pelengkap pada umur empat hingga enam bulan tidak menunjukkan penurunan risiko dalam alergi makanan, ekzema, atau reaksi sindrom keradangan usus kecil dan usus besar (enterocolitis) yang disebabkan oleh makanan protein. Tiada perbezaan di antara kumpulan bayi yang diberi makanan pelengkap awal dan kumpulan bayi penyusuan eksklusif dalam peratusan hari batuk, kesesakan, lelehan hidung dan serak, demam, kekurangan zat besi atau peningkatan berat badan.

Apakah maknanya?

Kajian ini tidak mendapat bukti yang mencukupi untuk berselisih dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan organisasi kesihatan antarabangsa lain bahawa penyusuan eksklusif tanpa makanan atau cecair tambahan, perlu dicadangkan sebagai dasar am bagi tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh MelissaChoon (Penang Medical College). Disunting oleh MW Chan (Penang Medical College).Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi melissadebruyne@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan