Urutan rahim bagi mencegah pendarahan selepas bersalin

Pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) adalah punca utama kematian dalam kalangan ibu di Sub-Sahara Afrika and Mesir walaupun ia boleh dicegah. Antara punca yang menyebabkan pendarahan yang berat selepas bersalin atau dalam 24 jam pertama adalah kegagalan rahim mengecut selepas bersalin (uterine atony), plasenta yang tertinggal dalam rahim, rahim terbalik atau pecah, dan pangkal rahim, rahim atau perineal yang terkoyak.

Di persekitaran yang mempunyai kemudahan yang lengkap, pendarahan dapat dikurangkan dengan pengurusan aktif rutin untuk mengeluarkan plasenta, iaitu peringkat bersalin ketiga, dengan penggunaan ubat bagi merangsang pengecutan rahim seperti oxytocin. Urutan rahim selepas kelahiran plasenta dapat merangsang pengecutan rahim. Urutan rahim dilaksanakan dengan meletakkan tangan pada bahagian bawah perut wanita bersalin dan merangsang rahim melalui urutan atau pergerakan memicit berulangan.

Ulasan ini merangkumi dua kajian terkawal di mana wanita dibahagikan secara rambang untuk menerima urutan rahim atau tidak menerima urutan rahim dengan pengurusan aktif peringkat bersalin ketiga dan penggunaan oxytocin rutin .

Dalam satu kajian yang melibatkan 200 wanita, urutan rahim dilaksanakan setiap 10 minit selama 60 minit selepas plasenta dilahirkan. Cara ini dapat mengurangkan pendarahan dengan efektif dan keperluan menambah uterotonics sebanyak 80%. Bilangan wanita yang mengalami pendarahan lebih daripada 500 mL tidak mencukupi bagi membuat perbandingan yang bermakna. Dua wanita dalam kumpulan kawalan dan tiada wanita dalam kumpulan urutan rahim memerlukan transfusi darah.

Kajian kedua melibatkan 1964 wanita yang dibahagikan untuk menerima oxytocin, urutan rahim atau kedua-duanya selepas bersalin dan sebelum kelahiran plasenta. Tiada manfaat tambahan ke atas urutan rahim apabila oxytocin digunakan.

Keputusan ulasan ini adalah tidak muktamad. Kualiti kaedah yang digunakan oleh kedua-dua kajian ini adalah tinggi. Namun demikian, ada kemungkinan bahawa terdapat perbezaan dalam prosedur yang digunakan di tempat kajian. Keburukan urutan rahim termasuk penggunaan masa kakitangan dan ketidakselesaan yang dialami oleh wanita. Hasil ulasan ini tidak seharusnya mengubah amalan yang diperakui. Ada kemungkinan bahawa pengurangan pendarahan dalam kajian-kajian ini dihadkan dengan penggunaan oxytocin. Urutan rahim mungkin juga meningkatkan pendarahan yang boleh dilihat dengan mengeluarkan darah yang terkumpul dari rahim. Lebih banyak kajian diperlukan, terutamanya di persekitaran di mana uterotonics tidak tersedia ada. Urutan rahim merupakan rawatan yang mudah dan murah jika keberkesanannya dapat dibuktikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Xiao Ying (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan, berkaitan terjemahan ini sila hubungi xylee@ms.pmc.edu.my

Tools
Information