Bawang putih untuk selsema

Latar belakang

Bawang putih sering dipercayai bahawa ia boleh digunakan untuk selesema. Kepercayaan ini adalah berdasarkan kepada penggunaan tradisional dan beberapa bukti kajian makmal bahawa bawang putih mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antivirus. Secara purata, orang dewasa mempunyai selsema sebanyak dua hingga empat kali setahun.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 7 Ogos 2014. Daripada lapan kajian yang dikenal pasti, hanya satu yang memenuhi kriteria untuk ulasan ini. Kajian ini menilai 146 peserta dalam tempoh tiga bulan. Setengah peserta mengambil tablet plasebo dan setengah lagi mengambil tablet bawang putih pada masa ini. Para peserta menulis dalam diari apabila mereka mempunyai gejala selesema.

Keputusan-keputusan utama

Kajian yang terbabit mendapati bahawa orang yang mengambil bawang putih setiap hari selama tiga bulan (bukannya plasebo) mempunyai gejala selsema yang kurang. Dalam tempoh tiga bulan, terdapat 24 kejadian selesema biasa dalam kumpulan bawang putih, berbanding dengan 65 dalam kumpulan plasebo. Apabila peserta mengalami selsema, tempoh kejadian adalah sama dalam kedua-dua kumpulan (4.63 berbanding dengan 5.63 hari).

Kualiti bukti

Lebih peserta dalam kumpulan bawang putih (empat) daripada kumpulan plasebo (satu) yang mengalami bau apabila sendawa, jadi 'blinding' dalam peserta tidak sempurna. Walau bagaimanapun, berat sebelah lain yang berpotensi telah dikawal dengan baik. Satu-satunya kajian yang terlibat adalah berkaitan secara langsung dengan soalan kajian. Walaupun saiz kajian adalah kecil, bilangan peserta mencukupi untuk menghasilkan keputusan yang tepat dan boleh dipercayai. Tidak ada bukti menunjukkan bahawa hanya keputusan yang terpilih sahaja dilaporkan. Walau bagaimanapun, ini mungkin berlaku kerana matlamat kajian tidak diputuskan terlebih dahulu. Dengan menimbangkan insentif kewangan bagi syarikat-syarikat suplemen untuk menghasilkan ujian yang positif, ia juga tidak mustahil bahawa ujian yang tidak menunjukkan kesan bawang putih tidak pernah diterbitkan. Secara menyeluruh, tahap kualiti bukti adalah sederhana.

Kesan sampingan

Kesan sampingan yang mungkin berlaku dalam kajian kecil yang terbabit ini ialah bau dan ruam kulit. Lebih banyak maklumat yang diperlukan tentang kesan-kesan sampingan bawang putih yang mungkin berlaku.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan