Rawatan pembedahan untuk kanser kaviti oral (mulut) dan orofarinks (tekak)

Mesej-mesej utama

• Dalam kalangan pengidap kanser mulut, pembuangan elektif nodus limfa leher semasa pembuangan tumor primer berbanding pembuangan nodus limfa leher hanya apabila ia menjadi kanser, mungkin meningkatkan survival dan mengurangan perulangan tetapi boleh meningkatkan risiko kesan yang tidak diingini.
• Kajian masa hadapan rawatan pembedahan kanser mulut dan tekak harus melaporkan penemuan mengikut lokasi tumor primer dan mengukur kualiti hidup dan penyakit atau hilang upaya yang berkait dengan rawatan.

Apakah latar belakang ulasan?

Kanser kaviti oral (mulut) dan orofarinks (tekak) kini menjadi lazim dan sangat sukar untuk sembuh. Rawatan boleh melibatkan pembedahan, kemoterapi, radioterapi, atau gabungannya. Bagi pengidap kanser mulut, pembuangan nodus limfa (kelenjar kecil yang menapis sel kanser dan bahan asing lain) kadangkala menjadi sebahagian daripada rawatan; ini dikenali sebagai diseksi leher. Pakar bedah kadangkala membuang nodus limfa yang kelihatan bebas kanser sambil membuang tumor asal (diseksi leher elektif). Pakar bedah lain menggunakan pendekatan 'lihat dan tunggu', mengeluarkan nodus limfa apabila ia menjadi kanser. Jenis pembedahan boleh jadi diseksi leher radikal di mana semua nodus limfa dikeluarkan, atau diseksi leher selektif di mana hanya nodus yang berpenyakit dikeluarkan. Satu cara untuk menentukan sama ada nodus limfa berpenyakit adalah dengan melakukan biopsi nodus limfa.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu rawatan pembedahan yang paling cenderung membolehkan pengidap kanser mulut dan tekak hidup lebih lama (survival keseluruhan), hidup lebih lama tanpa gejala (survival bebas penyakit), dan tidak mendapat kanser berulang di tapak yang sama (perulangan ‘locoregional’) atau merebak ke tapak lain (perulangan). Kami juga ingin tahu jika rawatan yang berbeza ada kesan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melibatkan pengidap kanser mulut atau tekak secara rawak kepada pelbagai jenis rawatan pembedahan. Kami ringkaskan ciri-ciri dan penemuan kajian yang relevan dan menilai keyakinan kami terhadap keputusannya.

Apa yang kami temui?

Kami sertakan 15 kajian (empat kajian baharu dalam kemas kini ini) yang menilai sembilan perbandingan rawatan yang berbeza. Tiada kajian membandingkan pelbagai pendekatan untuk memotong tumor asal (primer). Kajian-kajian melibatkan 2820 peserta.

Keputusan utama

Lima kajian menilai pembuangan tumor primer, membanding diseksi leher elektif dengan 'pendekatan lihat dan tunggu' dalam kalangan orang dengan kanser mulut. Keputusan-keputusan menunjukkan diseksi leher elektif mungkin membawa kepada survival keseluruhan dan survival bebas penyakit yang lebih lama serta kurang pergulangan ‘locoregional’ tetapi lebih banyak kesan tidak diingini.

Dua kajian membandingkan diseksi leher radikal berbanding diseksi leher selektif dalam kalangan pengidap kanser mulut. Adalah tidak jelas rawatan mana memberi hasil yang lebih baik.

Dua kajian menilai diseksi leher yang lebih terhad (superselektif) berbanding diseksi leher selektif; kami tidak dapat menggunakan data yang dilaporkan.

Satu kajian membandingkan diseksi leher yang lebih selektif (supraomohyoid) dan diseksi leher radikal yang diubah suai. Kami tidak dapat menggunakan data yang dilaporkan. Kumpulan diseksi leher radikal yang diubah suai memberi lebih banyak komplikasi, lebih sakit dan fungsi bahu yang lebih lemah, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Dalam satu kajian, semua orang dalam satu kumpulan melalui biopsi nodus limfa dan hanya nodus limfa leher dibuang jika biopsi tersebut positif, manakala semua orang dalam kumpulan lain telah melalui pengeluaran nodus limfa leher tanpa biopsi. Mungkin tiada perbezaan antara kedua-dua pendekatan ini dari segi survival keseluruhan, survival bebas penyakit, dan perulangan ‘locoregional’. Tiada kesan tidak diingini dilaporkan.

Satu kajian dinilai penggunaan imbasan khas (tomografi pancaran positron (PET-CT)) selepas gabungan kemoterapi dan radioterapi untuk membantu keputusan tentang diseksi leher berbanding diseksi leher yang dirancang sebelum atau selepas kemoradioterapi. Mungkin tiada perbezaan antara pendekatan-pendekatan tersebut dari segi survival keseluruhan atau perulangan ‘locoregional’. Mungkin tiada perbezaan kesan yang tidak diingini, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Satu kajian mencadangkan pembedahan ditambah radioterapi boleh menghasilkan survival keseluruhan yang lebih baik daripada radioterapi sahaja, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Pembedahan boleh mengakibatkan lebih banyak penebalan tisu parut. Mungkin tiada perbezaan kesan lain yang tidak diingini.

Satu kajian membandingkan pembedahan dengan radioterapi dalam kalangan pengidap kanser tekak. Mungkin tiada perbezaan dalam survival keseluruhan, survival bebas penyakit, atau kesan yang tidak diingini, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Satu kajian membandingkan pembedahan diikuti dengan radioterapi berbanding kemoterapi. Orang yang menerima pembedahan dan radioterapi mungkin hidup lebih lama tanpa gejala, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

Apakah batasan bukti?

Kami sederhana yakin diseksi leher elektif pada masa yang sama dengan pembuangan tumor utama memperbaik survival dan mengurangkan perulangan. Tidak semua kajian memberi maklumat tentang semua yang kami minati.

Kami sederhana yakin PET-CT tidak memperbaik survival atau mengurangkan perulangan. Terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan keputusannya.

Kami sedikit yakin terhadap hasil-hasil perbandingan lain kerana terlalu sedikit kajian dan maklumatnya yang terhad.

Sejauh manakan bukti ini terkini?

Bukti terkini adalah sehingga 9 Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information