Colchicine untuk merawat serangan gout akut

Kami telah mengkaji kajian tentang manfaat dan keburukan colchicine dalam merawat gout akut sehingga April 2014 dan telah mengenal pasti dua kajian. Satu kajian melibatkan 43 peserta dan memandingkan colchicine dos tinggi (1 mg colchicine diikuti oleh 0.5 mg setiap dua jam sehingga serangan itu selesai atau peserta mengalami kesan sampingan (jumlah dos tidak ditentukan)) dengan plasebo.
Kajian kedua melibatkan 184 orang peserta dan memandingkan colchicine dos tinggi (jumlah 4.8 mg dalam enam jam) dengan colchicine dos rendah (jumlah 1.8 mg dalam satu jam) serta colchicine dos tinggi atau rendah dengan plasebo.

Apakah itu gout dan colchicine?

Gout ialah penyebab biasa keradangan sendi (sakit, kemerahan, sensasi hangat dan bengkak pada sendi yang terlibat) dan ini adalah disebabkan oleh kristal "urate" yang terbentuk di sekeliling atau di dalam sendi. Asid urik ialah bahan buangan badan yang biasa dan selalu disingkirkan melalui air kencing. Walau bagaimanapun, gout berlaku apabila penghasilan asid urik yang terlalu banyak atau badan tidak dapat menyingkirkannya dengan cepat atau kombinasi kedua-duanya. Serangan gout biasanya berlaku dengan cepat dan biasanya selesai dalam tempoh 7 hingga 10 hari.


Colchicine adalah sejenis ubat yang selalunya digunakan dalamrawatan goutsemasaserangan akut atau untuk mencegah serangan semasa memulakan terapi mengurangkan asid urik.

Anggaran terbaik kesan-kesan terhadap penghidap gout yang menggunakan colchicine dos tinggi berbanding dengan ubat palsu (plasebo) selepas 32 hingga 36 jam:


Kesakitan:
52 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos tinggi menilai kesakitan mereka 50% lebih rendah berbanding dengan 24 daripada 100 orang yang menggunakan plasebo (28% perbezaan mutlak).


Kesan sampingan:
84 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos tinggi mengalami kesan sampingan (seperti cirit-birit, muntah atau loya) berbanding dengan 22 daripada 100 orang yang menggunakan plasebo (62% perbezaan mutlak).

Keradangan (kemerahan dan bengkak pada sendi):

50 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos tinggi menilai keradangan mereka 50% lebih rendah berbanding 5 daripada 100 orang yang menggunakan plasebo (45% perbezaan mutlak).

Anggaran terbaik kesan-kesan terhadap penghidap gout yang menggunakan colchicine dos rendah berbanding dengan ubat palsu (plasebo) selepas 32 hingga 36 jam:

Kesakitan:

42 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos rendah menilai kesakitan mereka 50% lebih rendah berbanding dengan 17 daripada 100 orang yang menggunakan plasebo (25% perbezaan mutlak).

Kesan sampingan:

26 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos rendah mengalami kesan sampingan (seperti cirit-birit, muntah atau loya) berbanding dengan 20 daripada 100 orang yang menggunakan plasebo (6% perbezaan mutlak).

Anggaran terbaik kesan-kesan terhadap penghidap gout yang menggunakan colchicine dos tinggi berbanding dengan colchicine dos rendah selepas 32 hingga 36 jam:

Kesakitan:

37 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos tinggi menilai kesakitan mereka 50% lebih rendah berbanding dengan 42 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos rendah (ini mungkin berlaku secara kebetulan).

Kesan sampingan:

77 daripada 100 orang yang menggunakan colchicine dos tinggi mengalami kesan sampingan (seperti cirit-birit, muntah atau loya) berbanding dengan 26 daripada 100 orang yang menggunakan plasebo (51% perbezaan mutlak).

Kami tidak tahu bilangan orang yang berhenti daripada kajian yang disebabkan oleh kesan sampingan, atau sama ada mereka mempunyai sebarang perubahan dari segi keradangan (sendi bengkak / kemerahan / ketenderan), fungsi sendi sasaran, penilaian global pesakit atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan , kerana ini tidak dilaporkan dalam kajian yang memandingkan colchicine dos rendah dengan plasebo atau colchicine dos tinggi dengan colchicine dos rendah.

Kualiti bukti

Ulasan ini menunjukkan bahawa dalam orang yang mengalami gout akut:

Kualiti bukti rendah menunjukkan bahawa rawatan gout akut dengan colchicine dos tinggi boleh mengurangkan kesakitan, bengkak, kemerahan dan ketenderan.

Kualiti bukti rendah menunjukkan bahawa colchicine dos tinggi mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam mengurangkan kesakitan berbanding dengan colchicine dos rendah.

Kualiti bukti rendah menunjukkan bahawa colchicine dos rendah mempunyai lebih kurang kesan sampingan seperti mual, muntah dan cirit-birit berbanding dengan colchicine dose tinggi.

Penyelidikan selanjutnya berkemungkinan besar akan membawa impak penting kepada keyakinan kami dalam menganggar kesan-kesan rawatan dan kemungkinan mengubah anggaran tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Chan Mei Wah (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan