Membandingkan antara pemberian oksigen tambahan dengan hanya menggunakan udara kamar dalam kalangan ibu hamil yang sedang menjalani bedah sesar bawah bius setempat

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti berkenaan kesan pemberian oksigen tambahan kepada wanita hamil semasa pembedahan caesar yang dirancang di bawah pembiusan cara epidural. (Pembiusan cara epidural bererti ubat bius disuntik ke dalam rongga epidural yang mengelilingi saraf tunjang; anestesi ‘spinal’ bererti ubat bius disuntik secara langsung ke dalam ruang subaraknoid di dalam rongga saraf tunjang).

Latar belakang

Oksigen diberikan secara rutin kepada wanita hamil untuk membekalkan oksigen tambahan kepada janin sebagai langkah bersiap untuk sebarang kehilangan oksigen yang tidak dijangka sewaktu atau sesudah bersalin. Kajian terdahulu telah membuktikan bahawa pemberian oksigen tambahan memberikan pengoksigenan yang lebih baik untuk ibu dan janin dari segi ketepuan oksigen (ukuran tahap oksigen dalam aliran darah), PaO 2 (tekanan gas oksigen dalam darah) dan pH (ukuran tahap keasidan atau kealkalian darah). Walau bagaimanapun, bukti jelas hasil klinikal janin belum diperolehi.

Tarikh carian

Bukti dalam ulasan ini adalah sah terkini sehingga November 2014. Kami menjalankan semula carian di CENTRAL, MEDLINE, EMBASE pada bulan Februari 2016. Kami menemui satu kajian baru yang telah kami tambahkan pada senarai 'Kajian yang sedang menunggu Pengelasan'. Kajian ini akan dimasukkan ke dalam hasil ulasan rasmi kami apabila kami mengemaskini ulasan akan datang.

Ciri-ciri kajian

Ulasan Cochrane yang dikemaskini ini menyertakan11 kajian yang melibatkan sejumlah 753 peserta. Kajian-kajian ini membandingkan kesan terhadap ibu dan janin bagi perbandingan antara ibu hamil yang menerima oksigen tambahan dengan ibu yang hanya menghirup udara kamar. Oksigen dibekalkan kepada ibu menerusi pelbagai cara (dan pada pelbagai kadar aliran atau ketepuan oksigen melalui mana-mana peranti penghantar oksigen).

Keputusan

Secara keseluruhannya, keputusan ulasan yang dikemaskini ini tetap berkesimpulan sama seperti ulasan terdahulu. Tiada satu pun daripada 11 kajian yang disertakan melaporkan desaturasi dalam kalangan ibu. Tiada perbezaan dari segi ukuran rutin kesihatan janin (skor Apgar) apabila ibu yang menerima oksigen tambahan dibandingkan dengan ibu yang tidak menerima oksigen tambahan. Ibu hamil yang menerima oksigen tambahan berbanding dengan udara bilik mempunyai ketepuan oksigen yang jauh lebih tinggi (tiga kajian) dan tekanan separa oksigen dalam darah arteri (lima kajian), serta tekanan separa oksigen yang jauh lebih tinggi dalam kedua-dua arteri umbilical dan urat pusat (masing-masing lapan dan 11 kajian). Dua kajian melaporkan penanda radikal bebas yang lebih tinggi (mungkin menunjukkan tekanan akibat oksigen berlebihan) pada ibu dan janin apabila oksigen tambahan diberikan, tetapi ini tidak mempunyai kepentingan klinikal Secara keseluruhannya, kami mendapati tiada bukti yang meyakinkan bahawa pemberian oksigen dalam keadaan ini sama ada bermanfaat atau berbahaya untuk ibu atau janin.

Kualiti bukti

Tiada satu pun daripada 11 kajian memberi tumpuan kepada perubahan ibu dalam ketepuan oksigen (ditakrifkan sebagai ketepuan ibu kurang daripada 90%). Kami menilai kualiti bukti sebagai bukti yang bermutu rendah untuk hasil utama yang dikaji (iaitu skor Apgar bayi), dan bermutu sangat rendah untuk hasil sekunder (iaitu tahap ketepuan oksigen darah ibu; tahap tekanan separa oksigen darah arteri ibu, pembuluh arteri tali pusat dan pembuluh vena tali pusat). Kami memberikan gred mutu sedemikian kerana risiko bias kajian dan pelaporan hasil kajian yang tidak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Unit Kawalan Infeksi, Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information