Kawalan tekanan darah untuk retinopati kencing manis

Soalan ulasan
Kami menyemak bukti mengenai kesan kawalan tekanan darah untuk mencegah retinopati kencing manis dan/atau untuk memperlahankan perkembangan retinopati kencing manis.

Latarbelakang
Kencing manis mempunyai ciri gula dalam darah yang tinggi (peredaran gula dalam darah) dan diklasifikasikan sebagai samada jenis 1 atau jenis 2, bergantung kepada punca peningkatan gula dalam darah. Komplikasi yang lazim dalam pesakit kencing manis ialah retinopati kencing manis, sering dikenali sebagai 'penyakit mata diabetis,' yang memberi kesan ke atas saluran darah di belakang mata. Retinopati kencing manis merupakan punca penglihatan yang lemah dan kebutaan di seluruh dunia dalam kalangan orang dewasa kumpulan umur mereka yang bekerja. Kajian telah menunjukkan bahawa kawalan gula dalam darah mengurangkan risiko retinopati kencing manis dan mencegah keadaan menjadi lebih teruk sebaik ia telah terjadi. Walau bagaimanapun, wabak kencing manis semasa mencadangkan bahawa kadar retinopati kencing manis yang baru dan yang bertambah buruk akan meningkat tanpa kaedah yang berkesan untuk mencegah dan merawat disamping kawalan gula dalam darah. Rawatan-rawatan seiring untuk merendahkan tekanan darah dalam kalangan pesakit kencing manis telah dicadangkan sebagai satu pendekatan.

Ciri-ciri kajian
Kami mendapati terdapat 15 kajian terkawal secara rawak, telah dijalankan terutamanya di Amerika Utara dan Eropah, untuk menyiasat kesan-kesan kaedah bagi merendahkan tekanan darah (berlandaskan ubat dalam 14 kajian; perubahan cara hidup dalam 1 kajian) dalam 4157 pesakit kencing manis jenis 1 dan 9512 jenis 2, diantara dari 16 hingga 2130 peserta dalam kajian individu. Jangkamasa temujanji di antara dari satu hingga sembilan tahun untuk kajian-kajian yang dilibatkan. Dari 15 kajian, enam telah dibiayai penuh oleh satu atau lebih syarikat ubatan. Tujuh lagi kajian telah menerima sokongan syarikat ubatan, lazimnya dalam bentuk ubatan yang digunakan dalam kajian. Selebih dua lagi kajian telah dijalankan dengan sokongan daripada geran penajaan kerajaan dan sokongan institusi. Bukti adalah yang terkini sehingga April 2014.

Keputusan utama
Pada keseluruhannya, kajian-kajian yang dilibatkan memberikan sokongan sederhana bagi pengurangan tekanan darah untuk mencegah retinopati kencing manis, tidak mengambil kira jenis kencing manis ataupun aras tekanan darah pada permulaannya. Walau bagaimanapun, bukti tidak menunjukkan yang pengurangan tekanan darah menghindari retinopati kencing manis dari bertambah buruk sebaik ia terjadi atau ia mencegah retinopati kencing manis peringkat lanjut yang memerlukan laser atau rawatan lain bagi mata yang terjejas. Rawatan untuk mengurangkan tekanan darah dalam pesakit kencing manis dibenarkan untuk sebab-sebab kesihatan yang lain, tetapi bukti sedia ada tidak memberi justifikasi pengurangan tekanan darah sahaja untuk mencegah atau melambatkan retinopati kencing manis.

Kualiti bukti
Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana berdasarkan atas maklumat yang dilaporkan. Kualiti telah dikurangkan terutamanya kerana sesetengah kajian tidak melaporkan hasil bagi kesemua atau kebanyakan peserta pada titik-titik masa temujanji, dan keputusan daripada kajian yang berbeza adalah tidak konsisten.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan