Rawatan untuk kepatahan rahang bawah

Soalan ulasan

Rahang bawah (juga dikenali sebagai mandibel) adalah tulang yang penting membentuk muka, menyokong gigi-gigi bawah dan diguna untuk menggerakkan mulut ketika bertutur dan mengunyah makanan. Kepatahan rahang bawah sering terjadi di bahagian yang menyokong gigi (bahagian badan), bahagian rahang yang membengkok ke atas atau leher (sudut) atau pada sendi yang terbentuk di bahagian paling atas tulang rahang (kondil). Rawatan sedia ada menjajarkan dan menstabilkan kepatahan bagi membolehkan tulang untuk sembuh dalam posisi yang betul.Rawatan boleh melibatkan atau tidak melibatkan pembedahan.

Ulasan yang dihasilkan oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini menilai pelbagai kaedah sedia ada kajian-kajian merawat kepatahan bahagian badan atau sudut mandibel.

Latarbelakang

Rahang bawah boleh megalami kepatahan pada bila-bila masa tetapi ia lebih kerap terjadi akibat kekerasan (misalnya dipukul atau ditumbuk di rahang) ataupun terlibat dengan kemalangan jalanraya (misalnya kemalangan kereta atau basikal). Kepatahan ini boleh distabilkan dengan ikatan fizikal rahang menggunakan sistem bar, dawai atau gegelang elastik (fiksasi intermaksila), atau menggunakan skru atau plet yang dilekatkan terus kepada bahagian tulang rahang bawah yang patah sambil membolehkan mulut dibuka (fiksasi tegar).

Ciri kajian

Bukti ulasan ini adalah terkini sehingga 28 Februari 2013. Dua belas kajian dengan jumlah 689 peserta dimasukkan dalam ulasan ini. Peserta berumur dari 16 hingga 68 tahun dan kebanyakan adalah lelaki (90%) Semua kajian membandingkan pelbagai jenis rawatan surgikal dan setiap kajian menilai pelbagai aspek rawatan surgikal seperti jenis plet, skru atau dawai atau jangkamasa imobilisasi rahang selepas surgeri.

Keputusan utama

Terdapat beberapa kebimbangan rekabentuk dan kualiti kajian. Semua kajian menilai pelbagai aspek rawatan pembedahan. Tiada kajian yang menilai rawatan bukan pembedahan misalnya fiksasi intermaksila dan tiada kajian membandingkan rawatan pembedahan dengan bukan pembedahan. Oleh itu tiada bukti jelas untuk menunjukkan pendekatan yang terbaik untuk pengendalian kepatahan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah. Disyorkan lebih banyak kajian lanjutan yang bermutu dalam bidang ini dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information