Suplemen nutrisi bagi orang yang dirawat untuk tuberkulosis aktif

Para penyelidik Cochrane menjalankan ulasan tentang kesan-kesan suplemen nutrisi bagi orang yang dirawat untuk tuberkulosis. Setelah mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 4 Februari 2016, mereka memasukkan 35 kajian relevan yang melibatkan 8283 peserta. Penemuan mereka diringkaskan seperti berikut.

Apakah tuberkulosis aktif dan bagaimana suplemen nutrisi berkesan?

Tuberkulosis ialah jangkitan bakteria yang lazimnya mempengaruhi paru-paru. Kebanyakan orang yang dijangkit tidak menunjukkan gejala kerana sistem imun mereka mampu mengawal bakteria tersebut. Tuberkulosis aktif berlaku apabila sistem imun tidak mampu mengawal jangkitan dan gejala biasa yang timbul ialah batuk, sakit dada, demam, berpeluh malam, penurunan berat badan dan kadangkala muntah darah. Rawatan tuberkulosis melibatkan kombinasi beberapa jenis antibiotik yang mesti diambil untuk sekurang-kurangnya enam bulan.

Orang yang menghidap tuberkulosis sering tidak seimbang pemakanannya dan mereka lebih berisiko kerana sistem imun yang lebih lemah. Suplemen nutrisi boleh membantu orang pulih dari sakit dengan mengukuhkan sistem imun, dan meningkatkan berat badan, dan kekuatan otot, membolehkan mereka kembali kepada kehidupan yang aktif. Pemakanan yang baik memerlukan pengambilan harian makronutrien (karbohidrat, protein, dan lemak), dan mikronutrien (vitamin dan mineral).

Apa yang dikatakan oleh penyelidikan

Kesan menyediakan suplemen nutrisi untuk orang yang menerima rawatan tuberkulosis

Buat masa ini, kita tidak tahu jika memberi makanan percuma seperti makanan panas atau bungkusan catuan kepada pesakit tuberkulosis boleh mengurangkan kematian atau menambah baik penyembuhan (bukti berkualiti sangat rendah)Walau bagaimanapun, ia mungkin meningkatkan berat badan dalam sesetengah situasi (kualiti bukti sederhana), dan mungkin menambah baik kualiti hidup (kualiti bukti rendah).

Pemberian rutin suplemen mikronutrien berbilang mungkin memberi sedikit atau tiada kesan terhadap kematian dalam kalangan orang HIV-negatif yang menghidap tuberkulosis ( kualiti bukti rendah), atau orang HIV-positif yang tidak mengambil terapi anti-retroviral ( kualiti bukti sederhana). Buat masa ini kita tidak tahu jika suplemen mikronutrien mempunyai sebarang kesan terhadap hasil rawatan tuberkulosis ( kualiti bukti sangat rendah), tetapi ia mungkin tidak mempunyai kesan terhadap peningkatan berat badan (kualiti bukti rendah). Tiada kajian yang menilai kesan terhadap kualiti hidup.

Paras Vitamin A plasma kelihatan meningkat selepas rawatan tuberkulosis dimulakan walaupun suplemen tidak diberi. Sebaliknya, suplemen mungkin dapat menambah baik paras zink, vitamin D, vitamin E, dan selenium plasma, tetapi ini belum terbukti untuk mempunyai manfaat klinikal yang penting. Walaupun terdapat banyak kajian tentang suplemen vitamin D dalam dos-dos berbeza, manfaat yang signifikan secara statistik terhadap penukaran kahak belum ditunjukkan.

Kesimpulan penulis

Suplemen makanan atau tenaga mungkin menambah baik berat badan semasa pemulihan daripada tuberkulosis dalam sesetengah situasi, tetapi buat masa kini tiada bukti ia menambah baik hasil rawatan tuberkulosis. Pada masa ini, tiada bukti boleh percaya bahawa pemberian suplemen secara rutin melebihi amaun harian yang disyorkan mempunyai manfaat klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save