Kompaun vitamin D untuk orang dengan penyakit buah pinggang kronik yang memerlukan dialisis

Orang-orang dengan penurunan fungsi ginjal (penyakit buah pinggang kronik; CKD) membentuk perubahan-perubahan dalam paras kalsium dan fosforus dalam aliran darah. Ginjal semakin kurang berupaya untuk menyingkirkan fosforus dari dalam darah dan gagal mengaktifkan jumlah vitamin D yang cukup, untuk mengekalkan paras kalsium normal. Kelenjar paratiroid akan mengesan dan mengimbangi perubahan ini dengan menambahkan penghasilan dan pembebasan hormon paratiroid bagi meningkatkan paras kalsium. Perubahan metabolik ini mengubah metabolisme tulang untuk membebaskan kalsium dan seterusnya akan menyebabkan keabnormalan tulang termasuk penghasilan tulang yang terubah. Akibatnya kecacatan dan kesakitan tulang, dan risiko fraktur boleh berlaku.

Rawatan bagi perubahan mineral-mineral dalam CKD termasuklah penggantian vitamin D yang diaktifkan untuk menyekat pembebasan hormon paratiroid. Persediaan vitamin D yang diaktifkan (calcitriol dan alfacalcidol) dikaitkan dengan penambahan paras kalsium dan fosforus dalam aliran melalui tindakan langsung ke atas reseptor vitamin D. Agen-agen terbaru yang telah dibangunkan juga menyekat hormon paratiroid namun boleh menghadkan penambahan kalsium dan fosforus. Pengelakan penambahan kalsium dan fosforus dianggap penting kerana mineral-mineral ini boleh mengaktifkan kalsifikasi dalam arteri-arteri dan tisu-tisu yang berpotensi menyebabkan penyakit jantung dan kerosakan tisu.

Kami mengenalpasti 60 kajian persediaan vitamin D dalam pesakit CKD yang memerlukan dialisis yang melibatkan sejumlah 2773 orang. Tiada kajian yang direkabentuk untuk memahami kesan terapi vitamin D terhadap risiko kematian. Agen-agen vitamin D menyekat PTH dengan ketara berbanding tanpa rawatan, tetapi ia juga menambah paras kalsium dan fosforus dalam aliran. Vitamin D intravena mungkin menurunkan PTH lebih daripada vitamin D oral. Tidak banyak kajian yang membandingkan terapi vitamin D terbaru dengan yang terawal (dan opsyen rawatan lazim terkini; calcitriol dan alfacalcidol); oleh itu opsyen rawatan terbaru tidak dapat disyorkan lebih unggul daripada rawatan mantap.

Pada masa akan datang, kajian baru diperlukan untuk mengetahui jika kesan vitamin D kepada fungsi paratiroid boleh memperbaiki kemandirian, kesakitan tulang dan keperluan pembuangan paratiroid melalui surgeri. Kompaun vitamin D mungkin bermanfaat kepada pesakit tanpa mengira kesannya terhadap hormon paratiroid. Ini hanya boleh dinilai dengan menjalankan kajian khusus yang cukup besar untuk mengenalpasti sebarang perbezaan rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch'ng Chin Chin (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Pulau Pinang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi chngchinchin@gmail.com.

Tools
Information