Aplians oral dan aplians fungsi ortopedik untuk apnea tidur tersekat dalam kalangan kanak-kanak.

Soalan ulasan

Adakah aplians oral dan aplians fungsi ortopedik berkesan dan selamat untuk merawat kanak-kanak yang menghidap sindrom apnea tidur tersekat?

Latarbelakang

Apnea tidur tersekat dalam kalangan kanak-kanak adalah gangguan pernafasan yang berupa episod obstruksi separa atau penuh laluan udara atas yang terjadi semasa tidur. Terdapat beberapa faktor risiko dan ia dikaitkan dengan gejala waktu siang dan malam termasuklah mengantuk, teriritasikan, keletihan, sakit kepala waktu pagi, hidung tersumbat, tabiat berdengkur, mimpi ngeri, dll Rawatan lazim untuk apnea tidur tersekat dalam kalangan kanak-kanak adalah adeno-tonsilektomi, iaitu pembuangan adenoid dan tonsil. Pendekatan ini terhad akibat ulangan yang boleh berkait dengan masalah kraniofasial. Aplians oral/fungsi ortopedik telah digunakan untuk pesakit apnea tidur obstruktif dan anomali kraniofasial kerana ia dapat menyokong rahang bawah (mandibel) ke hadapan dan berpotensi meluaskan laluan udara atas dan meningkatkan ruang udara atas, dan memperbaiki fungsi respiratori.

Ciri-ciri kajian

Bukti ulasan ini adalah terkini sehingga 7 April 2016. Ia hanya memasukkan satu kajian yang melibatkan 32 kanak-kanak yang dipilih secara rawak untuk menerima aplians oral atau tiada rawatan. Dua puluh tiga peserta telah menyempurnakan kajian.

Keputusan utama

Rawatan bagi sindrom apnea tidur tersekat dalam kalangan kanak-kanak adalah mungkin dengan aplians oral atau aplians fungsi ortopedik. Namun, ini hanyalah berdasarkan satu kajian kecil.

Kualiti bukti

Ini hanyalah satu kajian tunggal dengan bilangan peserta yang kecil dan kualiti bukti untuk pelbagai hasil dianggap rendah. Buat masa kini tiada cukup bukti untuk merumuskan aplians oral atau aplians fungsi ortopedik adalah berkesan untuk merawat apnea tidur obstruktif dalam kalangan kanak-kanak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save