Bahan untuk tampalan retrograd dalam terapi kanal akar.

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai kesan pengunaan pelbagai bahan di dalam proses tampalan retrograd dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa di mana rawatan tersebut diperlukan untuk menyelamatkan gigi.

Latarbelakang

Bahagian gigi yang hidup yang juga dikenali sebagai pulpa gigi boleh mengalami keradangan tidak berbalik akibat kecederaan atau jangkitan kerosakan gigi. Untuk menyelesaikan masalah ini, doktor gigi perlu menggerudi lubang untuk sampai ke ruang dalam gigi atau sistem kanal akar, dan membuang tisu yang dijangkiti serta bahan toksik menggunakan kombinasi pembersihan mekanikal dan pengairan. Selepas itu, doktor gigi akan memenuhi ruang tersebut dengan bahan lengai dan pembukaan dipengap. Prosedur ini dipanggil terapi kanal akar. Walupun secara umum keputusan adalah baik, sebilangan kecil kegagalan masih boleh berlaku. Ini mungkin disebabkan oleh sistem kanal akar yang kompleks, yang mempunyai banyak laluan tambahan dan saling berkomunikasi di antara satu sama lain yang menyukarkan lagi proses pembuangan semua bahan toksin yang menjengkelkan. Toksin tersebut boleh merebak dan menyebabkan jangkitan yang berterusan di hujung akar gigi. Apabila terapi kanal akar gagal, rawatan semula yang juga dikenali sebagai tampalan retrograd merupakan alternatif yang baik untuk menyelamatkan gigi. Semasa tampalan retrograd, doktor gigi akan memotong flap pada gusi dan membuat lubang di dalam tulang untuk sampai kepada hujung akar gigi. Selepas memotong hujung akar gigi, persediaan yang teliti dibuat di mana apeks dipengap (pengapan apikal) dan lubang yang dihasilkan ditampal dengan bahan pergigian. Proses pengagapan ini dianggap faktor tunggal utama yang penting dalam mencapai kejayaan tampalan akar retrograd. Banyak bahan telah dibangunkan untuk memengap hujung akar di mana agregate mineral trioksida merupakan bahan terkini yang mendapat perhatian, namun tiada persetujuan tentang bahan yang terbaik untuk digunakan.

Ciri kajian

Bukti ulasan yang dibuat bersama Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane adalah terkini sehingga 13hb September 2016. Kami memasukkan enam buah kajian yang menilai 916 peserta dan 988 gigi, yang ditampal secara retrograd menggunakan pelbagai bahan tampalan: agregat mineral trioksida (MTA), bahan restorasi perantaraan (IRM), asid super etoksibenzoid (Super-EBA), resin komposit terikat-dentin, simen ionomer kaca serta amalgam. Lima buah kajian dijalankan di Eropah manakala satu lagi di Asia. Kajian mengukur kadar kejayaan dengan kaedah klinikal dan radiologi. Tiada kajian yang melaporkan kesan sampingan.

Keputusan utama

Bukti yang terhad tidak mengukuhkan rumusan terhadap manfaat pengunaan sebarang bahan berbanding yang lain, oleh itu kami tidak dapat mengesyorkan jenis bahan terbaik untuk tampalan retrograd masa kini.

Kualiti bukti

Bukti yang didapati adalah berkualiti rendah kerana bilangan kajian yang kecil; semuanya dengan risiko bias yang tinggi, mempunyai keputusan tidak tepat dan mungkin tidak boleh diaplikasi kepada persekitaran/negara lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save