Suplemen zink oral untuk merawat cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak

Di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, berjuta-juta kanak-kanak mengalami cirit-birit yang teruk setiap tahun dan ramai yang mati akibat dehidrasi. Pemberian cecair melalui mulut (menggunakan cecair rehidrasi oral (ORS)) terbukti dapat menyelamatkan nyawa kanak-kanak, tetapi ia tiada kesan kepada tempoh cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak. Supplemen zink dapat membantu mengurangkan tempoh dan keterukan cirit-birit, dan oleh itu mempunyai manfaat tambahan berbanding ORS dalam mengurangkan kematian kanak-kanak.

Apa itu zink oral dan bagaimana ia boleh memendekkan tempoh dan keterukan cirit-birit

Zink biasanya diberi sebagai zink sulfat, zink acetat atau zink glukonat; yang mana semuanya adalah sebatian larut air. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengesyorkan zink oral 10 mg hingga 20 mg setiap hari untuk kanak-kanak yang mengalami cirit-birit. Terdapat beberapa mekanisma tindakan zink oral terhadap cirit-birit akut, ada yang khusus kepada sistem gastrousus: zink oral mengembalikan integriti mukosa dan aktiviti enzim enterosit sel pinggir berus. ia menggalakkan penghasilan antibodi dan pengedaran limfosit terhadap patogen usus, dan mempunyai kesan langsung ke atas saluran ion, bertindak sebagai penghalang saluran kalium untuk rembesan klorin yang berantarakan adenosin 3-5 siklik monofosfat. Para penyelidik Cochrane menilai bukti sedia ada sehingga 30 September 2016.

Apakah bukti yang dicadangkan dalam ulasan

Tiga-puluh tiga kajian yang melibatkan 10,841 kanak-kanak memenuhi kriteria kemasukan dalam ulasan ini.

Dalam kalangan kanak-kanak dengan cirit-birit akut, kami tidak tahu jika merawat kanak-kanak dengan zink oral memberikan kesan ke atas kematian atau bilangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital (bukti yang sangat rendah kepastiannya). Dalam kalangan kanak-kanak berumur lebih dari enam bulan, supplemen zink oral boleh memendekkan tempoh purata cirit-birit sebanyak setengah hari (bukti kepastian rendah), dan mungkin mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mengalami cirit-birit berterusan sehingga hari ketujuh (bukti kepastian sederhana). Dalam kalangan kanak-kanak dengan tanda-tanda malnutrisi kesannya kelihatan lebih baik, mengurangkan tempoh cirit-birit lebih kurang sehari (bukti kepastian tinggi). Sebaliknya, dalam kalangan kanak-kanak kurang daripada enam bulan, bukti sedia ada mencadangkan supplemen zink oral mungkin tiada kesan ke atas tempoh purata cirit-birit ( bukti kepastian rendah), atau bilangan kanak-kanak yang masih mengalami cirit-birit pada hari ketujuh (bukti kepastian rendah). Supplemen zink oral meningkatkan risiko muntah dalam kedua-dua kumpulan umur (bukti kepastian sederhana). Tiada kesan buruk lain dilaporkan.

Dalam kalangan kanak-kanak dengan cirit-birit yang berterusan, supplemen zink mungkin memendekkan tempoh purata cirit-birit lebih kurang 16 jam (kepastian sederhana) tetapi ia mungkin meningkatkan risiko muntah ( bukti kepastian sederhana).

Di kawasan-kawasan di mana prevalen kekurangan zinc atau malnutrisi yang tinggi, zink boleh memberi manfaat pada kanak-kanak berumur enam bulan atau lebih. Bukti semasa tidak menyokong penggunaan supplemen zink oral bagi kanak-kanak yang berumur kurang daripada enam bulan, kanak-kanak yang cukup khasiat dan dalam persekitaran kanak-kanak yang berisiko rendah untuk kekurangan zink.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan