Adjuvan (rawatan tambahan selepas rawatan awal) ubat anti-kanser berasaskan platinum untuk kanser serviks peringkat awal

Latar belakang
Kanser serviks adalah kanser kedua yan paling lazim dalam kalangan wanita. Kebanyakan wanita dengan kanser serviks peringkat awal (peringkat I hingga IIA) dapat dirawat dengan pembedahan atau, radioterapi, atau kedua-duanya. Radioterapi menggunakan x-ray bertenaga tinggi untuk membinasakan sel-sel tumor. Ubat kemoterapi (anti-kanser) menggunakan cara yang berbeza untuk menghalang pembahagian sel-sel tumor supaya mereka berhenti membesar atau mati.

Soalan ulasan
Kami membuat ulasan ini kerana adalah tidak jelas sama ada kemoterapi dengan ubat yang dipanggil cisplatin menawarkan manfaat tambahan atau risiko kepada wanita dengan kanser peringkat awal dengan faktor-faktor risiko untuk berulang, apabila diberikan selepas pembedahan, selepas radioterapi, atau kedua-duanya. (Risiko untuk berulang termasuk perebakan tumor ke nodus limfa, ke limfa dan saluran darah, kedalaman tumor yang lebih daripada 10 mm, pencerobohan mikroskopik tisu penghubung di sebelah rahim, kanser jenis bukan skuamus, dan apabila pembedahan tidak mungkin menghapuskan semua sel-sel tumor).

Penemuan utama
Dalam ulasan ini, kami menganalisis data daripada 4 ujian kecil dengan kualiti yang tidak jelas. Adalah tidak mungkin untuk memisahkan data pukal tentang penyakit peringkat awal (peringkat IB2 dan IIA dengan lesi yang lebih besar daripada 4 cm) dari keputusan keseluruhan. Kami menemui bukti terhad untuk mencadangkan bahawa penambahan kemoterapi cisplatin kepada radioterapi dapat memanjangkan kemandirian (masa hingga mati) dan kelewatan perkembangan kanser apabila diberikan selepas pembedahan kepada wanita dengan kanser serviks peringkat IA2 hingga IIA dengan faktor-faktor risiko untuk berulang. Terapi kombinasi dikaitkan dengan kesan sampingan yang lebih teruk daripada radioterapi sahaja.

Kualiti bukti Bukti ini adalah terhad disebabkan oleh bilangan kajian yang kecil dengan kualiti metodologi yang sederhana

Apakah kesimpulannya?
Kami menyimpulkan bahawa adalah sesuai untuk menawarkan kemoterapi serta radioterapi selepas pembedahan kepada wanita-wanita ini, akan tetapi, lebih banyak bukti mengenai manfaat relatif dan risiko diperlukan; diharapkan ini dapat dibekalkan oleh tiga kajian yang sedang berlangsung.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information