Patutkah rawatan salur akar dibuat dalam satu lawatan atau dalam beberapa lawatan?

Mesej utama

Rawatan endodontik (kanal akar) lawatan tunggal dan berbilang lawatan adalah sama berkesan, tidak kira sama ada bahagian lembut di tengah gigi yang mengandungi saraf dan saluran darah (pulpa pergigian) adalah vital (hidup) atau tidak vital (mati) .

Kedua-dua pendekatan rawatan sering dikaitkan dengan sedikit kesakitan jangka pendek selepas rawatan.

Apakah rawatan salur akar?

Rawatan salur akar adalah prosedur lazim yang diperlukan apabila pulpa gigi rosak dan tidak dapat dipulihkan. Rawatan salur akar dianggap berjaya apabila tiada gejala, (misalnya sakit), apabila sinar-x tidak menunjukkan tanda-tanda kerosakan kepada tulang dan tisu penyokong gigi, dan apabila tiada tanda jangkitan gusi (misalnya bengkak atau trek sinus (saluran abnormall)).

Bagaimanakah rawatan salur akar dibuat?

Rawatan salur akar boleh dibuat dalam satu atau lebih temujanji. Gigi, selepas diasingkan daripada air liur dengan perletakan kepingan getah (empangan) di sekelilingnya, dibuka melalui korona (bahagian gigi yang kelihatan) menggunakan gerudi, pulpa diakses dan dikeluarkan. Kemudian, kanal akar didisinfeksi sebelum dipengap dengan bahan tampalan.

Pada masa lalu, prosedur ini dilakukan dalam dua atau lebih lawatan, sejumlah kecil ubat diletak dalam salur akar di antara lawatan untuk membunuh sebarang bakteria yang tertinggal, tetapi kini rawatan sekali lawatan tanpa menggunakan sebarang ubat di anatara lawatan lebih diutamakan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika rawatan saluran akar yang dilakukan dalam satu lawatan adalah lebih baik, sama atau lebih teruk daripada rawatan saluran akar dua atau lebih lawatan dari segi kejayaan rawatan dan kemungkinan komplikasi selepas rawatan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat kejayaan dan komplikasi rawatan saluran akar gig kekal (dewasa) satu lawatan berbanding berbilang lawatan. Kami kumpulkan keputusan kajian-kajian yang relevan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.

Apakah kajian-kajian yang kami dapati?

Kami menemui 47 kajian dengan 5805 peserta. Kajian-kajian membandingkan rawatan kanal akar ke atas gigi kekal vital, gigi kekal tidak vital atau kedua-duanya yang dibuat di dalam satu janji temu dengan rawatan kanal akar yang dibuat dalam dua atau lebih janji temu. Kajian terbesar melibatkan 390 gigi dan kajian terkecil melibatkan 26 gigi. Kajian telah dijalankan di negara-negara di seluruh dunia, dengan bilangan tertinggi (12) di India.

Apa yang ditunjukkan oleh kajian-kajian tersebut?

Sama ada gigi dirawat dalam satu lawatan atau berbilang lawatan mungkin tidak mempunyai kesan ke atas kemungkinan cabutan gigi (pembuangan), tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan (bukti daripada dua kajian). Rawatan salur akar satu lawatan dan berbilang lawatan tidak menunjukkan hasil yang berbeza apabila dinilai menggunakan sinar-x yang diambil satu tahun selepas rawatan (bukti daripada 13 kajian).

Peserta yang dirawat dalam beberapa lawatan berkemungkinan kurang mengalami sakit pada minggu pertama selepas rawatan dimulakan berbanding peserta yang dirawat dalam satu lawatan (bukti daripada lima kajian).

Tiada perbezaan antara rawatan lawatan tunggal dan berbilang untuk hasil lain (sama ada sakit atau tidak selepas ditampal dan intensiti sakit, penggunaan ubat tahan sakit, bengkak, dan sama ada terdapat trek sinus atau tidak), tetapi kami tidak pasti tentang keputusan ini.

Apakah batasan bukti?

Kami sederhana yakin dengan kesimpulan tentang kejayaan sinar-x selepas setahun tidak berbeza sama ada ia dilakukan dalam satu lawatan atau berbilang lawatan. Begitu juga, kami sederhana yakin dengan penemuan sakit pada minggu pertama selepas rawatan lebih mungkin dengan rawatan sekali lawatan. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat beberapa kelemahan dalam cara kajian dijalankan yang boleh mempengaruhi keputusan.

Kami tidak yakin tentang keputusan untuk hasil-hasil lain kerana bukti adalah berdasarkan beberapa kes dan keputusannya berbeza secara meluas merentas kajian, beberapa kajian mempunyai kelemahan dalam cara perlaksaan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini versi terdahulu yang diterbitkan pada 2007 dan 2016. Kami mencari bukti sehingga Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information