Soalan ulasan
Para penulis Cochrane telah mengulaskan bukti tentang keberkesanan dan keselamatan akupunktur atau akutekanan dalam kalangan wanita dengan sindrom prahaid (PMS) atau gangguan prahaid disforik.
Latar belakang
Kami hendak mengetahui sama ada penggunaan terapi akupunktur atau akutekanan adalah lebih baik daripada menerima akupunktur sham, tiada rawatan ataupun ubatan farmaseutikal terkini yang disyorkan untuk PMS seperti ejen perencat pengambilan semula serotonin (SSRIs- sejenis anti-depresi).
Ciri-ciri kajian
Kami menemui lima ujian terkawal rawak melibatan 277 wanita yang menilai kesan akupunktur atau akutekanan dalam kalangan wanita dengan PMS. Bukti adalah terkini sehingga September 2017. Kami juga melakukan pencarian yang lebih kecil pada November 2017 untuk meninjau jika kami telah terlepas apa-apa kajian yang baru diterbitkan. Tiga ujian membandingkan akupunktur dengan akupunktur sham, satu membandingkan akupunktur dengan tanpa rawatan dan satu membandingkan akutekanan dengan akutekanan sham.
Keputusan-keputusan utama
Akupunktur boleh mengurangkan mood keseluruhan dan gejala PMS fizikal apabila dibandingkan dengan sham. Akutekanan boleh mengurangkan bilangan wanita dengan gejala PMS yang sederhana hingga teruk apabila dibandingkan dengan akutekanan sham. Bukti adalah tidak mencukupi bagi menentukan keselamatan akupunktur atau akutekanan.
Kualiti bukti
Kualiti bukti berkisar dari rendah hingga sangat rendah. Batasan-batasan utama merupakan kekurangan ketepatan yang disebabkan oleh sampel bersaiz kecil (bilangan wanita yang menyertai kajian terlalu rendah), risiko bias yang dikaitkan dengan pembutaan (apabila penyelidik atau peserta mengetahui apa rawatan yang mereka dapati).
Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my