Intervensi untuk meningkatkan kualiti air untuk mencegah cirit-birit

Ulasan Cochrane ini meringkaskan ujian yang menilai intervensi yang berbeza untuk meningkatkan kualiti air dan mencegah cirit-birit. Setelah mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 11 November 2014, kami memasukkan 55 kajian yang melibatkan 84,000 peserta. Kebanyakan kajian yang dilibatkan telah dijalankan di negara berpendapatan rendah atau sederhana (LMIC) (50 kajian), dengan sumber-sumber air yang tidak diperbaiki (30 kajian), dan sanitasi yang tidak perbaiki atau kurang jelas (34 kajian).

Apa yang menyebabkan cirit-birit dan apakah intervensi kualiti air yang mungkin mengelakkan kejadian cirit-birit?

Cirit-birit merupakan punca utama kematian dan penyakit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di negara-negara berpendapatan rendah di mana punca yang paling biasa adalah air dan makanan yang dicermar oleh najis, atau amalan kebersihan yang buruk.

Dalam persekitaran yang berpendapatan rendah, peningkatan kualiti air berdasarkan sumber mungkin meliputi penyediaan air bawah tanah yang dilindungi (lubang mata air, telaga, dan lubang dalam) atau air hujan yang dituai sebagai alternatif kepada sumber air di permukaan (sungai dan tasik). Alternatif yang lain ialah air boleh dirawat semasa ia digunakan dalam rumah-rumah penduduk dengan pendihan, pengklorinan, pemberbukuan, penapisan, atau disinfeksi solar. Intervensi ini mempunyai potensi untuk mengatasi kedua-dua sumber pencemaran dan pencemaran semula air bersih di rumah.

Apakah yang dimaklumkan oleh kajian?

Kini, tiada bukti yang mencukupi untuk mengetahui samada penambahbaikan berkalan air berdasarkan sumber seperti telaga yang dilindungi dan tap komuniti atau rawatan bekalan komuniti dapat mengurangkan cirit-birit dalam persekitaran berpendapatan rendah secara konsisten (kualiti bukti sangat rendah ) . Kami mendapati tiada ujian yang mengkaji air yang dibekalkan ke rumah-rumah penduduk melalui paip.

Secara puratanya, pengedaran produk pembasmian kuman untuk kegunaan di rumah boleh mengurangkan cirit-birit sebanyak kira-kira satu suku dalam kes produk klorin (kualiti bukti rendah), dan satu pertiga dalam kes pemberbukuan dan sachet pembasmian kuman ( kualiti bukti sederhana) .

Penapisan air di rumah mungkin mengurangkan cirit-birit kira-kira setengah ( kualiti bukti sederhana ), dan kesan-kesan secara konsisten dilihat dengan penapis seramik (kualiti bukti sederhana ), sistem biosand (kualiti bukti sederhana) dan penapis LifeStraw® (kualiti bukti rendah). Penapisan 'plumbed-in' hanya dinilai dalam persekitaran yang berpendapatan tinggi (kualiti bukti rendah).

Dalam persekitaran yang berpendapatan rendah, pengedaran botol plastik dengan arahan untuk meninggalkan botol yang diisi di bawah cahaya matahari untuk sekurang-kurangnya enam jam sebelum minum mungkin mengurangkan cirit-birit sebanyak satu per tiga (kualiti bukti sederhana ).

Penyelidikan yang menilai kesan-kesan sistem bekalan air dalam rumah dan pengklorinan pada masa penghantaran air dapat membantu meningkatkan pengetahuan asas kami. Bukti menunjukkan semakin ramai orang yang menggunakan pelbagai intervensi untuk meningkatkan kualiti air, semakin besar kesan-kesan yang akan diiperolehi. Oleh itu, penyelidikan dalam pendekatan praktikal untuk meningkatkan liputan dan membantu memastikan penggunaan intervensi untuk jangka panjang dalam kumpulan yang berpendapatan rendah akan membantu meningkatkan kesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information