Adakah lebih baik untuk bayi dilahirkan serta-merta atau menunggu proses kelahiran untuk bermula, jika air ketuban pecah tanpa kontraksi sebelum 37 minggu kandungan?

Apakah isunya?

Sekiranya air ketuban wanita hamil pecah tanpa kontraksi sebelum 37 minggu kandungan, terdapat dua pilihan: bayi perlu dilahirkan secepat mungkin, atau menunggu proses bersalin untuk bermula secara semula jadi. Kami perlu mengkaji dengan teliti risiko dan faedah daripada kedua-kedua pilihan tersebut.

Kenapa ianya penting?

Dilahirkan terlalu awal boleh meningkatkan kebarangkalian berlakunya masalah yang berhubung kait dengan bayi pramatang, seperti kesusahan bernafas dan tempoh rawatan yang lebih lama dalam unit rawatan rapi neonat. Walau bagaimanapun, berada di dalam rahim boleh mengakibatkan jangkitan kepada kedua-dua ibu dan bayi yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius dan juga kematian. Sorotan ini bertujuan mengenal pasti pilihan yang paling baik.

Apakah bukit yang kami perolehi?

Kami telah menyertakan 12 kajian yang melibatkan 3617 wanita yang pecah air ketuban sebelum bersalin prapmasa. Mereka telah dipilih secara rawak untuk bersalin awal atau menjalani pengurusan berjangka (menunggu untuk melahirkan). Wanita-wanita berkenaan di antara 25 hingga 37 minggu tempoh kandungan. Kajian-kajian ini dijalankan di 16 buah negara antara tahun 1977 dan 2013. Secara keseluruhannya, 12 kajian yang dinilai mempunyai bias yang rendah atau kurang jelas , dan bukti pula berjulat dari kualiti sederhana ke tinggi.

Kami mendapati tiadanya perbezaan dalam kadar jangkitan dalam bayi atau kematian bayi sebelum lahir di antara kedua-dua kumpulan. Walau bagaimanapun, kelahiran awal meningkatkan risiko kematian bayi selepas dilahirkan, dan juga masalah pernafasan, di mana bayi memerlukan bantuan untuk bernafas.Bayi-bayi kepada wanita-wanita yang telah dirancang untuk bersalin awal lebih berkemungkinan dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi neonat, dan dilahirkan lebih awal daripada bayi-bayi kepada wanita-wanita yang menunggu untuk bersalin. Kelahiran awal turut meningkatkan kadar insisi caesarean, induksi bersalin, dan risiko jangkitan lapisan dalaman rahim, tetapi mengurangkan risiko jangkitan membran. Wanita-wanita tinggal di hospital lebih lama jika mereka dipilih secara rawak untuk menunggu.

Apakah maknanya?

Dalam kalangan wanita yang pecah air ketuban sebelum 37 minggu kandungan, menunggu untuk bersalin untuk bermula secara semula jadi merupakan pilihan yang terbaik untuk memberikan hasil yang lebih sihat, selagi tiada sebab-sebab lain bayi perlu dilahirkan serta-merta.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing, (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save