Saringan bagi kanser prostat

Kanser prostat merupakan salah satu kanser yang paling kerap dalam kalangan kaum lelaki di serata dunia. Saringan bagi kanser prostat bermakna ujian-ujian diagnostik perlu dilakukan walaupun tidak ada apa-apa petanda penyakit. Ujian-ujian ini meliputi pemeriksaan dubur / rektal menggunakan jari (DRE), ujian darah yang spesifik bagi antigen prostat (PSA) dan trans-rektal biopsi berpandukan ultrasound (TRUS). Saringan bertujuan untuk mengenalpasti kanser di peringkat awal dan masih boleh dirawat. Justeru meningkatkan peluang untuk sembuh disamping menambahbaik kualiti kehidupan pesakit pada masa depan. Ulasan ini telah mengenalpasti 5 kajian yang relevan, yang merangkumi sejumlah 341,342 peserta. Dua daripada kajian yang dinilai mempunyai risiko berat sebelah yang rendah, manakala tiga lagi kajian mempunyai kelemahan kaedah yang ketara. Meta-analisis kesemua lima kajian menunjukkan tiada pengurangan yang signifikan secara statistik dalam kematian yang berpunca daripada kanser prostat (nisbah risiko (RR) 1.00, julat keyakinan 95%(CI) 0.86 hingga 1.17). Meta-analisis dua kajian yang mempunyai risiko berat sebelah yang rendah menunjukkan ketiadaan pengurangan yang signifikan dalam kematian yang berpunca daripada kanser prostat (RR 0.96, 95% CI 0.70 hingga 1.30). Hanya satu kajian dalam ulasan (ERSPC) ini yang melaporkan pengurangan relatif yang signifikan sebanyak 21% (95% CI 31% hingga 8%) dalam kematian yang berpunca daripada kanser prostat di dalam sub-kumpulan lelaki yang dipra-tentukan. Keputusan-keputusan ini telah dipengaruhi oleh dua negara di dalam kajian ERSPC yang mempunyai kadar kematian kanser prostat yang sangat tinggi dan anggaran pengurangan yang besar daripada biasa. Dalam kumpulan lelaki berumur antara 55 hingga 69 tahun dalam kajian ERSPC, pengarang-pengarang kajian melaporkan seramai 1055 lelaki perlu disaring untuk mencegah satu kematian daripada kanser prostat sepanjang median tempoh susulan selama 11 tahun . Bahaya-bahaya yang berkaitan dengannya adalah tersalah diagnos sebagai pesakit kanser prostat, perawatan yang sepatutnya tidak diperlukan, termasuk keputusan ujian PSA positif yang palsu. Jangkitan kuman, pendarahan dan kesakitan berkaitan dengan ujian biopsi yang akan dilakukan setelah mendapat keputusan ujian PSA positif yang palsu.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Boniami Yazid (Hospital Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan