Adakah maklumbalas kesan merokok ke atas tubuh yang dikembalikan kepada perokok membantu mereka untuk berhenti?

Latarbelakang

Penilaian risiko bioperubatan merupakan proses pengembalian kepada perokok maklumbalas kesan merokok ke atas tubuh mereka. Kesan fizikal merokok boleh dinilai menggunakan berbagai ukuran, dan sesetengah orang berpendapat ini boleh digunakan sebagai kaedah bagi menggalakkan perokok untuk berhenti merokok. Kami mengkaji bukti mengenai samada memberi maklumbalas kepada perokok dewasa mengenai kesan merokok ke atas tubuh membantu mereka untuk berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi 20 kajian yang menggunakan berbagai ukuran. Satu kajian memasukkan dua ukuran, untuk sejumlah 21 ukuran yang dinilai. Ukuran maklumbalas utama yang kami nilai ialah tahap karbon monoksida dalam nafas perokok (tanda perokok semasa), ukuran fungsi paru-paru (tanda kerosakan paru-paru dari merokok), ujian-ujian genetik untuk memberi risiko individu terhadap kanser, dan ultrabunyi (‘ultrasound’) ateri major di leher untuk mengukur amaun plak (faktor risiko strok). Kami golongkan kajian ke dalam tiga kategori mengikut jenis maklumbalas yang diberi kepada peserta: maklumbalas mengenai pendedahan kepada merokok (lima kajian); maklumbalas mengenai risiko seseorang terhadap penyakit berkaitan merokok (lima kajian); dan maklumbalas mengenai bahaya merokok (11 kajian). Kajian ini merangkumi sejumlah 9262 peserta. Semua peserta merupakan perokok dewasa, dan kedua-duanya lelaki dan wanita telah dilibatkan (walaupun satu kajian yang dijalankan di dalam klinik untuk bekas askar telah melibatkan hanya 4% wanita). Kebanyakan kajian telah dijalankan di perkhidmatan perubatan yang umum dan klinik-klinik ambulatori. Kesemua kajian dilaksanakan sekurang-kurangnya enam bulan. Bukti yang dilaporkan telah dikemaskini sehingga Mac 2018.

Keputusan utama

Kami tidak menemui bukti yang mengembalikan maklumbalas kepada perokok mengenai pendedahan mereka kepada merokok, risiko genetik mereka terhadap penyakit berkaitan merokok, atau kesan merokok ke atas tubuh mereka membantu pemberhentian merokok. Keputusan yang paling menjamin ialah memaklumbalaskan perokok mengenai bahaya merokok ke atas tubuh mereka. Kajian-kajian tidak melaporkan bahaya atau kesan-kesan sampingan pemberian maklumbalas. Bagaimanapun, dengan sifat ukuran (paru-paru atau ujian darah), kami menjangkakan risiko bahaya adalah rendah.

Kepastian bukti

Disebabkan masalah dengan cara sesetengah kajian dijalankan, kami berpendapat penyelidikan seterusnya berkemungkinan akan mengubah keputusan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information