Pembilasan folikular semasa pengumpulan oosit dalam teknologi reproduktif berbantu

Soalan ulasan

Kami berusaha untuk menilai keselamatan dan keberkesanan pembilasan folikel sebagai sebahagian daripada pengumpulan telur pada wanita yang menjalani rawatan untuk membantu mereka hamil (teknologi reproduktif berbantu (ART)).

Latar belakang

Pasangan yang mempunyai kesukaran untuk hamil secara semula jadi boleh memilih untuk rawatan (intervensi) untuk membantu mereka hamil. Intervensi ini dikenali sebagai teknologi reproduktif berbantu (ART). Satu jenis ART ialah persenyawaan in vitro (IVF). Semasa IVF, rangsangan ovari dilakukan menggunakan hormon untuk merangsang beberapa telur untuk membesar dalam folikel yang terletak di setiap ovari. Selepas rangsangan ovari, jarum yang dipandu oleh ultrasound dimasukkan ke dalam setiap folikel untuk mengumpul telur ini. Selain daripada menggunakan hanya sedutan untuk mendapatkan kandungan folikel (aspirasi), adalah dicadangkan bahawa pembilasan folikel selepas aspirasi boleh mendorong kepada pengumpulan lebih banyak telur dan oleh itu peluang yang lebih tinggi untuk hamil dan mendapatkan bayi. Teknik ini dipanggil pembilasan folikular.

Ciri-ciri kajian

Kami masukkan 15 kajian yang merawakkan sejumlah 1643 wanita kepada aspirasi folikular sahaja atau pembilasan folikular selepas aspirasi. Untuk mengetahui sekiranya ada perbezaan antara dua teknik tersebut, kami mahu melihat pada keputusan utama kadar kelahiran hidup (bilangan bayi yang lahir setiap 1000 wanita) dan kadar keguguran (bilangan keguguran setiap 1000 wanita). Kami menjalankan carian bersepadu untuk mengenal pasti semua penyelidikan yang relevan dalam bidang ini pada Julai 2021.

Keputusan utama

Empat kajian melaporkan keputusan utama kadar kelahiran hidup. Adalah tidak pasti sama ada pembilasan folikular mempunyai kesan pada kadar kelahiran hidup berbanding dengan aspirasi sahaja. Ini mencadangkan bahawa jika kadar kelahiran hidup yang beranggaran 30% dilihat melalui aspirasi sahaja, kadar kelahiran hidup yang sama dengan pembilasan folikular berada antara 20% hingga 39%. Satu kajian melaporkan kadar keguguran, walaupun kepastian buktinya rendah, menghalang kami daripada membuat sebarang kesimpulan dengan yakin. Walau bagaimanapun, data mencadangkan bahawa jika kadar keguguran adalah kira-kira 1% dengan aspirasi sahaja, kadar yang setara dengan pembilasan folikular terletak antara 0% dan 22%.

Kami juga tidak pasti tentang kesan pembilasan folikular terhadap bilangan telur yang diambil, bilangan embrio, atau kadar kehamilan klinikal berbanding dengan aspirasi sahaja. Walaupun kepastian bukti adalah rendah, kelihatan bahawa pembilasan folikular mengambil masa yang lama untuk dilakukan daripada aspirasi sahaja. Bukti yang ada tidak mencukupi untuk membenarkan sebarang kesimpulan kukuh berkaitan kesan-kesan buruk atau keselamatan.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui sama ada mana-mana kumpulan pesakit tertentu yang akan bermanfaat daripada pembilasan folikular.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk hasil utama kadar kelahiran hidup adalah sederhana. Kepastian bukti untuk hasil lain adalah sangat rendah hingga rendah. Had utama kajian yang disertakan ialah kekurangan pembutaan (proses menghalang wanita yang menyertai kajian dan kakitangan penyelidik daripada menyedari intervensi yang digunakan), tidak konsisten (perbezaan merentasi kajian), dan ketidaktepatan (data tidak mencukupi).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information