Rawatan untuk orang dengan penyakit sel sabit yang kekurangan bekalan darah ke kawasan tulang menyebabkan kematian tulang

Soalan ulasan
Kami mengkaji kesan rawatan untuk nekrosis tulang avaskular pada orang dengan penyakit sel sabit.

Latar belakang
Ramai orang dengan penyakit sel sabit mengalami kematian tulang kerana kehilangan bekalan darah sementara atau kekal ke bahagian tulang mereka. Ini boleh menyakitkan. Tulang yang biasanya terkena adalah tulang paha pada sendi pinggul dan tulang lengan pada sendi bahu. Tujuan rawatan adalah untuk menghentikan kesakitan dan mengekalkan sendi bergerak. Rawatan termasuk merehatkan sendi, fisioterapi, penggunaan penahan sakit, penggantian sendi dan graf tulang. Walau bagaimanapun, komplikasi dari pembedahan mungkin lebih kerap terjadi pada orang dengan penyakit sel sabit. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane yang pernah diterbitkan sebelumnya.

Tarikh carian
Bukti ini adalah terkini sehingga: 17 September 2019.

Ciri-ciri kajian
Kami menemui satu kajian yang memenuhi syarat, yang diterbitkan pada tahun 2006, yang menganalisis data dari 38 orang dari 32 pusat rawatan yang berbeza dari Amerika Syarikat. Kajian membandingkan rawatan pembedahan dan terapi fizikal dengan terapi fizikal sendiri. Kajian ini tidak menunjukkan bahawa penambahan pembedahan pada rejimen terapi fizikal dapat meningkatkan hasil bagi orang dengan penyakit sel sabit dan nekrosis avaskular.

Keputusan Utama

Setelah purata tempoh susulan selama tiga tahun, kombinasi pembedahan dan terapi fizikal tidak menunjukkan peningkatan klinikal jika dibandingkan dengan terapi fizikal sahaja. Memandangkan hasilnya tidak tepat, kami tidak pasti sama ada pembedahan dan terapi fizikal dalam kombinasi mempunyai kesan penting terhadap sakit pinggul, krisis vaso-oklusif dan sindrom dada akut. Pengarang kajian tidak melaporkan maklumat mengenai kematian dan kualiti hidup.

Kualiti bukti
Jumlah peserta yang terhad dalam kajian menyebabkan keputusan tidak tepat, oleh itu, keyakinan terhadap hasilnya sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information