Promosi cuci tangan untuk pencegahan cirit-birit

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane ini meringkaskan kajian-kajian yang menilai kesan promosi cuci tangan ke atas insiden cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa di pusat-pusat jagaan harian, sekolah-sekolah, komuniti-komuniti atau hospital-hospital. Selepas mencari kajian-kajian yang relevan sehingga 27 Mei 2015, kami memasukkan 22 kajian rawak terkawal yang dijalankan di kedua-dua negara berpendapatan tinggi (HICs) dan negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICs). Kajian-kajian ini melibatkan 69,309 kanak-kanak dan 148 orang dewasa.

Bagaimana pencucian tangan dapat mencegah cirit-birit dan bagaimana ianya dapat dipromosikan.

Cirit-birit menyebabkan banyak kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, kebanyakannya di negara LMICs. Organisme yang menyebabkan cirit-birit disebarkan daripada orang ke orang melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis, atau melalui sentuhan orang ke orang. Pencucian tangan selepas membuang air besar, atau selepas pembersihan najis bayi, dan sebelum penyediaan makanan dan makan, boleh mengurangkan risiko cirit-birit. Pencucian tangan boleh dipromosi melalui kumpulan ataupun latihan individu dalam sesi pendidikan higin, kesedaran kuman-kesihatan, penggunaan poster, risalah, buku-buku komik, lagu dan drama.

Apa yang dikatakan oleh ulasan ini

Promosi cuci tangan di fasiliti pusat jagaan harian kanak-kanak atau di sekolah-sekolah di HICs mungkin mencegah lebih kurang 30% episod cirit-birit (bukti berkualiti tinggi), dan mungkin dapat mencegah perkadaran yang sama di sekolah-sekolah di LMICs (bukti berkualiti rendah).Dalam kalangan komuniti-komuniti di LMICs, promosi cuci tangan mencegah sekitar 28% episod cirit-birit (bukti berkualiti sederhana)Dalam kajian tunggal berdasarkan hospital yang dimasukkan dalam ulasan ini, promosi cuci tangan telah menunjukkan pengurangan purata episod cirit-birit (bukti berkualiti sederhana)Ini berdasarkan hanya satu kajian dengan bilangan peserta yang kecil dan dengan itu lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkannya. Kesan promosi cuci tangan ke atas perubahan tingkah laku berkaitan kebersihan tangan lebih baik dalam kumpulan intervensi berbanding kumpulan kontrol di semua persekitaran (bukti berkualiti rendah hingga tinggi)Tiada kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini menilai kesan promosi cuci tangan ke atas kematian yang dikaitkan dengan cirit-birit, semua penyebab mortaliti di bawah lima tahun atau keberkesanan kos promosi cuci tangan.

Kesimpulan

Promosi cuci tangan dalam kesemua persekitaran di HICs dan LMICs mungkin dapat mengurangkan insiden cirit-birit dalam anggaran sebanyak 30%. Walaubagaimanapun, kurang maklumat diketahui bagaimana dapat membantu masyarakat untuk mengekalkan tabiat cuci tangan untuk jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information
Share/Save