Suplemen vitamin E semasa hamil

Apakah isu ini?

Adakah dengan pemberian suplemen vitamin E, bersendirian atau dalam kombinasi dengan vitamin lain, kepada wanita semasa mengandung akan memperbaiki kesan pada bayi mereka dengan mengurangkan kejadian pra-eklampsia dan bilangan bayi dilahirkan terlalu awal? Atau adakah ia menyebabkan kemudaratan?

Mengapa ini penting?

Walaupun kekurangan vitamin E jarang didapati di kalangan orang dewasa yang sihat, untuk wanita hamil, kekurangan pemakanan vitamin E (terdapat di dalam minyak sayur-sayuran, kacang, bijirin dan sayur-sayuran berdaun hijau) mungkin boleh menyebabkan komplikasi seperti pra-eklampsia dan bayi yang dilahirkan kecil. Di samping itu, kekurangan vitamin E boleh menjadi lebih teruk dengan kandungan besi yang banyak dan oleh itu adalah penting untuk menyiasat jumlah yang optimum untuk kehamilan.

Apakah bukti yang kita dapati?

Ulasan ini melibatkan data daripada 21 kajian yang melibatkan lebih 21,000 wanita. Empat kajian tidak menyumbang data untuk analisis. Secara amnya, kualiti kajian-kajian ini berbeza. Terdapat hanya tiga kajian mengenai suplemen vitamin E sahaja, tetapi tiada sumbangan data daripada kajian tersebut. Semua kajian lain memasukkan vitamin C, dan suplemen tambahan atau ubat-ubatan.

Penemuan kajian menunjukkan bahawa tambahan rutin dengan vitamin E dalam kombinasi dengan suplemen lain semasa mengandung tidak memperbaiki kesan pada bayi atau wanita. Terdapat pengurangan dalam kejadian uri terkeluar awal (abrupsi plasenta) pada wanita yang diberikan suplemen vitamin E dalam kombinasi dengan ejen-ejen lain, dan ini telah dinilai sebagai bukti yang berkualiti tinggi. Walau bagaimanapun, ia adalah tidak jelas sama ada penemuan ini adalah disebabkan oleh vitamin E atau ejen-ejen lain yang digunakan dalam suplemen tersebut. Ini perlu diterokai dalam kajian lanjutan untuk memeriksa mekanisme yang menyebabkan abrupsi plasenta.

Ulasan ini mendapati mungkin terdapat kemudaratan yang berkaitan dengan suplemen vitamin E semasa hamil, kerana ada peningkatan risiko sakit perut dan pecah membran janin sebelum jangka bersalin di kalangan wanita yang diberi suplemen vitamin E dalam kombinasi dengan suplemen lain. Tidak ada peningkatan dalam pecahan membran pramatang sebelum proses bersalin pada wanita yang diberi vitamin E dan ejen lain.

Apakah maksud ini?

Sejumlah besar bukti tidak menyokong pengambilan suplemen vitamin E, sama ada bersendirian atau dalam kombinasi, semasa mengandung. Ini kerana pengambilan vitamin E dalam kombinasi dengan suplemen lain semasa mengandung tidak membantu untuk mengelakkan masalah dalam kehamilan termasuk lahir mati ('stillbirth'), kematian bayi, kelahiran pramatang, pra-eklampsia atau bayi yang berat lahir rendah. Malah, ia boleh meningkatkan sakit perut untuk wanita dan juga meningkatkan bilangan wanita yang mempunyai membran pecah awal pada jangka masa hamil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Chan Mei Wai dan Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information