Kesan-kesan intervensi yang bertujuan untuk mengubah tempoh masa perundingan antara doktor keluarga dan pesakit

Soalan ulasan

Adakah memanjangkan atau memendekkan tempoh masa yang diperuntukan kepada doktor rawatan primer bagi setiap perundingan dengan pesakit membawa manfaat kepada pesakit-pesakit, para doktor dan sistem kesihatan?

Latar belakang

Kekurangan masa perundingan antara para doktor dengan para pesakit merupakan perkara yang membimbangkan. Adalah dicadangkan sekiranya para doktor dan para pesakit mempunyai lebih masa untuk bercakap, maka pesakit mungkin akan lebih berpuas hati dengan penjagaan mereka dan masalah mereka boleh diuruskan dengan lebih baik, ataupun doktor akan kurang mempreskripsikan ubat dan sebaliknya bercakap lebih mengenai cara-cara mengubahkan gaya hidup.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenal pasti lima kajian yang dijalankan di UK yang menguji sama ada kaedah-kaedah untuk menukar tempoh masa perundingan untuk doktor keluarga memberi sebarang manfaat.Kajian-kajian ini dijalankan dalam klinik tunggal atau klinik berkumpulan, dan bilangan temu janji adalah antara 200 hingga 2957 rundingan.Empat kajian membandingkan perubahan masa temujanji daripada 5 kepada 15 minit, dan satu kajian membandingkan perundingan pendek berbanding perundingan panjang dengan atau tanpa rawatan untuk pesakit yang tiada diagnosis.

Keputusan utama

Semua kajian menguji perubahan jangka masa pendek dalam tempoh masa perundingan yang diperuntukkan kepada setiap pesakit. Keyakinan kami dalam keputusan kajian-kajian ini adalah sangat rendah. Oleh itu, kami tidak pasti sama ada dengan menukar masa temu janji membawa kepada peningkatan tempoh masa perundingan, bilangan rujukan dan siasatan yang diminta oleh doktor, dan bilangan ubatan yang dipreskripsikan. Begitu juga, adalah kurang jelas sama ada pesakit lebih berpuas hati dengan penjagaan kesihatan yang mereka menerima apabila memanjangkan tempoh masa perundingan. Tiada kajian yang melaporkan tentang sumber-sumber yang dikaitkan dengan temu janji yang lebih panjang.

Rumusan pengarang

Pada masa ini, tiada bukti yang mencukupi untuk menyatakan sama ada menukar tempoh masa perundingan antara doktor dengan pesakit akan membawa faedah atau sebaliknya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Melissa de Bruyne Choon Ming May. Disunting oleh Foo Sook Lee / Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi melissadebruyne@ms.pmc.edu.my

Tools
Information