Adakah tempat kerja persekitaran yang berkesan bagi membantu orang ramai berhenti merokok

Latar belakang
Tempat kerja dilihat sebagai persekitaran yang sesuai bagi membantu orang ramai berhenti merokok. Terdapat kumpulan besar perokok, yang boleh dihubungi dan dibantu, menggunakan kaedah yang telah dibuktikan. Adalah juga menjadi kepentingan majikan untuk menambahbaik kesihatan tenaga pekerja mereka. Perubahan terbaru yang memperkenalkan undang-undang anti-merokok dalam banyak negara-negara maju mungkin telah meringankan tekanan untuk menunjukkan nilai program yang berasaskan kerja. Situasi dalam negara-negara membangun masih memerlukan kaedah-kaedah tersebut diuji dan dibuktikan dalam kalangan komuniti mereka. Kami mengulas bukti mengenai program-program tempat kerja untuk membantu pekerja-pekerja berhenti merokok, dan maklumat mengenai kos dan manfaatnya.

Ciri-ciri kajian.
Untuk ulasan yang dikemaskini ini (penerbitan pertama dalam tahun 2003), kami mencari ujikaji-ujikaji terkawal secara rawak dan separa-rawak ('quasi-randomized'), membandingkan kadar kejayaan mereka yang berada dalam program berhenti merokok berasaskan kerja dengan mereka yang tidak terlibat dalam program berhenti merokok berasaskan kerja. Perbandingan mungkin antara orang ramai dalam satu tempat kerja, atau diantara satu atau lebih tempat kerja yang diatur dibahagi rawak kepada program berhenti merokok atau kepada tanpa program (perawakan kluster/kelompok). Kajian perlu melibatkan orang dewasa (lebih 18 tahun), dan boleh dilakukan dalam mana-mana bahasa dan dilaporkan dalam mana-mana format, samada diterbitkan ataupun tidak. Ia perlu melaporkan bilangan berhenti merokok untuk sekurang-kurangnya enam bulan.

Keputusan
Kami mengkaji ujikaji-ujikaji dalam Julai 2013 dan mengenalpasti sepuluh ujikaji baru yang menepati kriteria kami, menjadikan jumlah untuk bahan yang dikemaskini ini sebanyak 61 perbandingan merentas 57 ujikaji yang terlibat. Kami membahagikan mereka ke dalam dua kategori besar: satu bertujuan membantu perokok individu, dan satu tertumpu kepada persekitaran tempat kerja secara keseluruhan. Kumpulan pertama merangkumi kaedah-kaedah termasuk memberi khidmat kaunsel secara individu ataupun kumpulan, bantuan terkendiri, terapi gantian nikotin (NRT) dan ubatan lain, bantuan daripada rakan sekerja ataupun pekerja lain, dan membantu perokok yang telahpun berhenti merokok supaya dapat dikekalkan bebas rokok. Kumpulan kedua merangkumi aspek-aspek persekitaran (poster, peringatan), insentif kewangan ataupun bahan, dan program-program komprehensif berhenti merokok ataupun promosi kesihatan. Ulasan mendapati program-program yang berasaskan kumpulan terapi tingkah-laku (lapan ujikaji; 1309 peserta), berasaskan kaunseling individu (lapan ujikaji; 3516 peserta), berasaskan ubatan (lima ujikaji; 1092 peserta), dan berasaskan kombinasi beberapa intervensi (enam ujikaji; 5018 peserta) telah dapat membantu orang ramai berhenti merokok. Peluang berhenti merokok menggunakan kaedah-kaedah ini adalah lebih kurang sama di tempat kerja dan juga di lain-lain persekitaran. Ulasan ini mendapati yang berikut tidak dapat membantu orang ramai untuk berhenti merokok apabila ia dilakukan di tempat kerja: kaedah bantuan kendiri, sokongan rakan-rakan, keluarga dan rakan sekerja, program pencegahan ulangan, aspek-aspek persekitaran, atau program komprehensif yang tertumpu kepada penukaran beberapa tingkah-laku yang berisiko tinggi. Keputusan adalah bercampur bagi insentif, di mana satu ujikaji berkualiti tinggi mendapati manfaat yang jelas bagi insentif manakala lima selebihnya tidak.

Kualiti bukti.
Kajian-kajian awal tidak dijalankan dan dilaporkan dengan begitu baik berbanding dengan yang baru. Kurang daripada satu dalam lima kajian yang telah merawakkan populasi kajian mereka dengan menggunakan kaedah yang boleh diterima. Dua pertiga daripada kajian telah memeriksa ketepatan mereka yang mengatakan telah berhenti merokok dengan melakukan pemeriksaan ke atas nafas, darah ataupun air kencing. Keputusan secara umumnya selaras dengan penemuan dari ulasan-ulasan lain mengenai cara berhenti merokok dalam mana-mana persekitaran. Gambarajah Ringkasan Penemuan menunjukkan pada umumnya, kualiti kajian-kajian dinilai sebagai sederhana hingga tinggi, dan ini mengesahkan kekuatan penemuan kami. Penyelidikan di masa hadapan mungkin boleh mengkaji apakah ciri-ciri ujikaji insentif besar yang telah menjadikannya lebih berjaya berbanding dengan ujikaji-ujikaji lain dalam kumpulan tersebut. Ia juga akan membantu untuk mempunyai lebih banyak ujikaji daripada negara-negara membangun dan berpendapatan rendah, di mana kadar merokok kekal tinggi dan undang-undang anti-merokok tidak dikuatkuasakan dengan luasnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information