Antibiotik profilaksis untuk mencegah jangkitan pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan rejimen antibiotik profilaksis untuk mencegah jangkitan pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan penyakit sel sabit (SCD). Ini adalah versi kemas kini ulasan Cochrane yang telah diterbitkan terdahulu.

Latar belakang

Orang yang hidup dengan SCD mudah mendapat jangkitan respiratori dan darah. Jangkitan sering disebabkan oleh kuman (bakteria) yang dikenali sebagai Streptococcus pneumoniae, atau dikenali sebagai pneumokokus, yang boleh menyebabkan banyak jenis penyakit serius. Individu dengan SCD mudah mendapat jangkitan berbanding orang yang tidak dipengaruhi kerana limpa mereka (organ yang menapis darah) tidak berfungsi dengan betul, dan juga kerana tisu dan tulang yang rosak akibat SCD boleh melindungi bakteria. Oleh itu, pencegahan jangkitan adalah salah satu cara utama untuk memperbaiki kesihatan orang yang hidup dengan SCD dan mengurangkan risiko kematian. Risiko jangkitan tertinggi berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah tiga tahun, tetapi penggunaan vaksin khas yang membantu mencegah penyakit dengan Streptococcus pneumoniae adalah terhad dalam populasi muda ini. Oleh itu, tambahan antibiotik regular kepada vaksin khas ini diperlukan untuk mencegah jangkitan. Sambil risiko jangkitan berkurangan dengan usia, mungkin ada ketika rawatan antibiotik pencegahan dapat dihentikan.

Tarikh carian

Bukti ini adalah terkini sehingga 19 Disember 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami mengumpul bukti untuk Ulasan Cochrane ini dengan memeriksa tiga kajian klinikal dengan lebih daripada 800 kanak-kanak dimasukkan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Ketiga-tiga kajian klinikal menunjukkan pengurangan kadar jangkitan pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan SCD yang menerima penisilin untuk pencegahan. Dua daripada kajian tersebut melihat sama ada rawatan berkesan. Kajian ketiga adalah lanjutan dari salah satu kajian terawal dan melihat bila masa yang selamat untuk menghentikan rawatan. Kesan buruk ubat adalah jarang dan kecil. Walau bagaimanapun, terdapat masalah dengan kanak-kanak untuk mengikut jadual rawatan dan dengan perkembangan rintangan antibiotik. Kualiti bukti bagi hasil primer dan sekunder (keputusan akhir) dinilai sebagai rendah.

Kami menyimpulkan bahawa penisilin yang diberi untuk pencegahan mengurangkan kadar jangkitan pneumokokus dalam kalangan kanak-kanak dengan SCD di bawah usia lima tahun. Risiko jangkitan dalam kalangan kanak-kanak yang lebih berumur adalah lebih rendah, dan kajian susulan tidak menunjukkan peningkatan risiko yang ketara apabila penisilin regular dihentikan pada usia lima tahun. Penyelidikan selanjutnya diperlukan untuk melihat kelaziman cara bakteria berkembang yang rintang terhadap rawatan dan bagaimana ini penting secara klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save