Rawatan untuk karsinoma sel basal pada kulit

Mengapa soalan ini penting?

Karsinoma sel basal (BCC) adalah sejenis barah kulit yang paling kerap terjadi dalam kalangan manusia berkulit putih.

BCC biasanya tidak mengancam nyawa tetapi jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kecacatan yang signifikan, terutamanya pada wajah.

Pembedahan mengeluarkan kawasan yang terkena dan kulit di sekitarnya biasanya adalah merupakan pilihan utama untuk merawat BCC. Terdapat beberapa kaedah pembedahan yang berbeza dan juga rawatan bukan pembedahan, seperti radioterapi (radiasi dos tinggi untuk membunuh sel barah), dan krim, gel dan salap anti-barah.

Kami mengkaji bukti dari kajian penyelidikan, untuk mengetahui rawatan apakah yang paling sesuai untuk BCC.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana ia memberikan bukti yang paling kuat mengenai keberkesanan rawatan. Kami membandingkan dan membuat ringkasan bukti dari semua kajian. Akhir sekali, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti itu, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi keputusan pada kesemua kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati terdapat 52 kajian melibatkan seramai 6690 orang dewasa yang menghidap penyakit BCC. Kebanyakan kajian (48 daripada 52) termasuk pesakit luar hospital dengan BCC yang kecil, dangkal atau nodular. Kajian berlangsung antara enam minggu dan 10 tahun (tempoh purata: 13 bulan). Dua puluh dua kajian telah dibiayai oleh syarikat farmaseutikal.

Keyakinan kami terhadap bukti yang dikemukakan adalah rendah hingga sederhana, kerana kebanyakan kajian adalah kecil.

Perbandingan antara rawatan pembedahan yang berbeza

- Pembedahan mikrografik Mohs (pendekatan pembedahan khusus untuk menghilangkan kulit yang lebih sedikit) dapat menurunkan sedikit kadar ulangan kepada tiga dan lima tahun dibandingkan dengan pembedahan pemotongan (salah satu rawatan pembedahan yang paling biasa untuk BCC).

-Samada sedikit atau tidak ada perbezaan dalam seberapa baik bekas luka sembuh antara kedua-dua rawatan pembedahan ini menurut pesakit dan pemerhati (satu kajian).

Pembedahan berbanding rawatan bukan pembedahan

Berbanding dengan pembedahan pemotongan:

- Imiquimod (krim anti-barah) mungkin meningkatkan kadar berulang BCC pada tiga dan lima tahun. Kemungkinan ada sedikit atau tidak ada perbezaan dalam penyembuhan parut menurut pesakit, walaupun imiquimod dapat meningkatkan peluang penyembuhan parut dengan baik ketika penyembuhan dinilai oleh pemerhati (satu kajian).
- Radioterapi dapat meningkatkan kadar ulangan BCC dalam masa tiga dan empat tahun, dan mungkin dapat mengurangkan peluang penyembuhan parut dengan baik (satu kajian).
- MAL-PDT, sejenis terapi fotodinamik (yang menggunakan sumber cahaya dan ubat sensitif cahaya untuk membunuh sel barah), dapat meningkatkan kadar ulangan BCC pada tiga tahun. MAL-PDT mungkin meningkatkan peluang penyembuhan parut dengan baik (dua kajian).

Perbandingan antara rawatan pembedahan yang berbeza

Berbanding dengan imiquimod:

- MAL-PDT mungkin meningkatkan kadar berulang BCC pada tiga dan lima tahun. Kemungkinan terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam penyembuhan parut (satu kajian);

Apakah maksudnya?

Secara keseluruhan, bukti menunjukkan bahawa:

- pembedahan dapat mengurangkan kemungkinan berulang BCC;
- rawatan bukan pembedahan seperti krim anti-barah atau terapi fotodinamik memberi peluang peningkatan berulang BCC, tetapi dapat meningkatkan peluang penyembuhan parut dengan baik dibandingkan dengan pembedahan.

Komplikasi rawatan pembedahan adalah seperti jangkitan luka, kegagalan cantuman kulit dan pendarahan selepas prosedur. Rawatan bukan pembedahan sering menyebabkan kegatalan, berair, kesakitan dan kemerahan. Kesan sampingan berkaitan rawatan telah menyebabkan pengubahsuaian kajian atau penarikan peserta berlaku dengan imiquimod dan MAL-PDT.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information