Rangsangan titik akupunktur PC6 pergelangan tangan untuk mengelakkan loya dan muntah selepas pembedahan

Soalan ulasan

Adakah ulasan bukti menyokong penggunaan rangsangan titik akupunktur PC6 pergelangan tangan (PC6 akupoint) berkesan dalam mengurangkan loya dan muntah selepas pembedahan (PONV), berbanding sham (rangsangan akupoint dummy) atau antiemetik (ubat yang melegakan loya dan muntah) kepada orang yang menjalani pembedahan? Ulasan ini mengemas kini bukti yang diterbitkan pada 2009 dan terkini hingga Disember 2014.

Latar belakang

Pening dan muntah adalah dua daripada komplikasi yang paling biasa (sehingga 80%) selepas anestesia dan pembedahan. Antiemetik hanya berkesan separa dan boleh menyebabkan kesan buruk, seperti sedasi dan sakit kepala. Merangsang akupoint PC6, satu kaedah alternatif, telah dilaporkan mengurangkan PONV dengan sedikit kesan sampingan yang serius.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 59 kajian berkaitan, dijalankan antara 1986 dan 2015, melibatkan 7667 peserta yang menjalani pembedahan elektif. Tujuh daripada kajian dijalankan ke atas 727 kanak-kanak. Rangsangan akupoint PC6 berbeza-beza daripada teknik invasif, seperti jarum akupunktur tradisional, kepada teknik bukan invasif, seperti gelang tangan akutekanan. Rangsangan akupoint PC6 dibandingkan dengan enam jenis ubat antiemetik (metoclopramide, cyclizine, prochlorperazine, droperidol. ondansetron dan dexamethasone).

Penemuan utama dan kualiti bukti

Kesan rangsangan akupoint PC6 berbanding sham pada PONV

Kami mendapati kesan bersaiz sederhana kepada kanak-kanak dan orang dewasa, walaupun terdapat kebimbangan mengenai batasan kajian dan variasi kesan yang tidak dapat dijelaskan. Kajian lanjut dengan perbandingan sham tidak perlu untuk mengesahkan kesan bermanfaat ini.

Kesan rangsangan akupoint PC6 berbanding antiemetik pada PONV

Kami mendapati tiada perbezaan dalam kejadian PONV. Kami menilai kualiti bukti ini sebagai sederhana, disebabkan oleh batasan kajian. Kajian lanjut tidak mungkin menunjukkan perbezaan.

Kesan menggabungkan rangsangan akupoint PC6 dan antiemetik berbanding antiemetik pada PONV

Kami mendapati kesan bersaiz sederhana pada muntah selepas operasi tetapi tidak pada loya selepas operasi. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai had kajian, variasi kesan yang tidak dapat dijelaskan antara kajian, dan bilangan kajian yang tidak mencukupi. Penyelidikan berkualiti tinggi lanjut mengenai gabungan rangsangan akupoint PC6 dan antiemetik diperlukan untuk mengurangkan ketidakpastian tentang kesan ini pada PONV.

Secara keseluruhan, kesan sampingan yang berkaitan dengan rangsangan akupoint PC6 adalah kecil, sementara dan mengehadkan diri (contohnya kerengsaan kulit, melepuh, kemerahan dan kesakitan) dalam 14 kajian.

Kesimpulan

Untuk mengelakkan PONV, kesan rangsangan akupoint PC6 adalah setanding dengan antiemetik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information