Aromaterapi untuk demensia

Latar belakang ulasan
Preskripsi ubat untuk rawatan demensia tidak selalunya berkesan untuk menghilangkan gejala keadaan seperti masalah dengan pemikiran, tingkah laku, mood, dan tidur. Terapi semula jadi, termasuk aromaterapi (penggunaan pati minyak wangi dari tumbuh-tumbuhan), adalah pilihan menarik untuk merawat gejala demensia yang menyusahkan ini kerana mereka sering dianggap mempunyai risiko kesan sampingan yang rendah.

Soalan ulasan
Adakah aromaterapi selamat dan berkesan untuk menghilangkan gejala demensia?

Apakah yang telah kami lakukan
Kami mencari penulisan perubatan sehingga 5 Mei 2020, mencari kajian yang membandingkan aromaterapi bagi pesakit demensia dengan rawatan kawalan, yang mungkin merupakan rawatan biasa atau aromaterapi 'dummy' yang melibatkan minyak tidak berwangi. Untuk membuat perbandingan yang adil, kajian harus membahagikan orang secara rawak untuk aromaterapi atau rawatan kawalan. Kami melihat kesannya terhadap kegelisahan, isu-isu tingkah laku dan kesihatan mental, dan gejala penting berkaitan demensia yang lain. Kami juga mencari laporan tentang kesan sampingan. Oleh kerana kajian-kajian adalah sangat berbeza antara satu sama lain, kami tidak dapat menggabungkan hasil secara statistik sehingga kami menghuraikan hasil kajian individu dan menilai sejauh mana keyakinan kami terhadapnya.

Ciri-ciri kajian
Kami menjumpai 13 kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Terdapat 708 peserta secara keseluruhan. Kesemuanya menghidap demensia dan tinggal di rumah penjagaan. Wangian aromaterapi yang paling biasa digunakan adalah lavender. Kajian-kajian juga menggunakan ekstrak balsem lemon, oren dan cedar.

Penemuan utama
Sepuluh kajian menilai kegelisahan, tetapi lima tidak melaporkan data yang dapat digunakan atau keyakinan kami terhadap hasilnya adalah sangat rendah. Kami mempunyai keyakinan sederhana atau rendah terhadap lima hasil yang lain: empat melaporkan tidak ada kesan aromaterapi yang signifikan dan satu melaporkan faedah yang signifikan. Lapan kajian menilai isu-isu tingkah laku dan kesihatan mental, tetapi tiga kajian tidak melaporkan data yang dapat digunakan, atau keyakinan kami terhadap hasilnya adalah sangat rendah. Dari lima kajian yang lain, di mana keyakinan kami sederhana atau rendah, empat kajian melaporkan manfaat yang signifikan dari aromaterapi dan satu melaporkan tiada kesan yang signifikan. Kesan sampingan rawatan adalah dilaporkan dengan lemah atau tidak dilaporkan sama sekali. Tidak lebih dari tiga kajian melaporkan hasil sekunder kami iaitu kualiti hidup, kognisi (pemikiran), mood, tidur, aktiviti kehidupan harian, dan beban penjaga. Kami tidak menemui bukti bahawa aromaterapi adalah bermanfaat untuk salah satu daripada hasil-hasil ini.

Kualiti bukti
Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah lemah. Sebilangan besar kajian dilaporkan dengan lemah dan ada yang tidak melaporkan data yang dapat kami gunakan. Sebilangan besar kajian adalah sangat kecil sehingga terdapat banyak ketidakpastian mengenai hasilnya. Hasil kajian yang berbeza adalah tidak sepakat antara satu sama lain.

Kesimpulan
Kami tidak menemui bukti yang meyakinkan bahawa aromaterapi adalah bermanfaat bagi pesakit demensia walaupun terdapat banyak batasan terhadap data yang dilaporkan oleh kajian sehingga kesimpulan tidak dapat dibuat dengan yakin. Untuk menentukan sama ada aromaterapi adalah selamat dan berkesan untuk menghilangkan gejala demensia, kajian yang lebih besar dan dirancang dengan baik beserta laporan yang lebih jelas adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information