Senaman atau senaman dan diet untuk mencegah diabetes melitus jenis 2

Terjemahan ini tidak kemaskini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan Sistematik ini.

Diabetes jenis 2 kebanyakannya berciri sebagai kekurangan upaya hormon insulin untuk merangsang pengambilan glukosa dalam lemak badan dan otot (rintangan insulin) bergabung dengan kekurangan penghasilan rembesan insulin yang menyebabkan  peningkatan paras glukosa darah. Pengurangan berat badan dan peningkatan dalam penggunaan tenaga harian dapat mengurangkan rintangan insulin. Terdapat beberapa faktor yang berkaitan dengan peningkatan risiko diabetes jenis 2: ini termasuk obesiti, diabetes gestasi terdahulu, tekanan darah tinggi, sejarah keluarga yang mempunyai diabetes jenis 2, 'dyslipidaemia' dan sesetengah kumpulan etnik yang lebih berisiko. Orang dengan "prediabetes" juga berisiko tinggi: mereka mempunyai paras glukosa darah yang tidak normal tetapi tidak dalam julat diabetes. Prediabetes sering mendahului perkembangan diabetes jenis 2. Kami telah mencari kajian-kajian yang bertujuan untuk mencegah perkembangan diabetes jenis 2 pada kumpulan berisiko yang tersebut di atas. Kami juga menilai kesan-kesan peningkatan aktiviti fizikal sahaja atau gabungan dengan intervensi diet terhadap insiden diabetes dan hasil lain.

Kami memasukkan lapan kajian dengan 2241 peserta yang dipilih secara rawak untuk intervensi senaman dan diet, dan 2509 peserta dengan syor standard. Tambahan pula, 178 peserta telah dibahagi secara rawak kepada intervensi senaman sahaja dan 167 peserta kepada intervensi diet sahaja. Tempoh untuk intervensi yang dijalankan dalam kajian adalah di antara satu tahun hingga enam tahun. Intervensi adalah berbeza di antara kajian-kajian tetapi kebanyakannya terdiri daripada sekatan kalori jika orang itu mempunyai berat badan berlebihan, kandungan lemak yang rendah (terutamanya lemak tepu), kandungan karbohidrat yang tinggi dan peningkatan pengambilan serat. Aktiviti fizikal juga berbeza tetapi secara purata berjalan pantas atau aktiviti-aktiviti lain seperti berbasikal atau berjoging sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu adalah disyorkan. Kebanyakan intervensi disampaikan melalui kaunseling individu yang kerap oleh ahli fisioterapi, pakar fisiologi senaman dan pakar diet. Insiden diabetes telah dikurangkan sebanyak 37% (pengurangan risiko relatif) dengan senaman dan diet. Ini memberikan kesan yang baik kepada berat badan,  ukur lilitan pinggang dan tekanan darah. Lebih banyak bukti diperlukan untuk kesan senaman sahaja dalam pencegahan diabetes jenis 2. Tiada kajian yang melaporkan data mengenai diabetes dan morbiditi berkaitan kardiovaskular, mortaliti semua sebab dan kualiti hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Berkongsi/Menyimpan