Senaman untuk diabetes melitus jenis 2

Senaman, perubahan diet dan ubat-ubatan kerap digunakan dalam pengurusan diabetes jenis 2. Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk menentukan kesan tidak bersandar senaman dari sesetengah kajian kerana senaman telah digabungkan dengan pengubahsuaian diet atau ubat-ubatan, atau berbanding dengan kawalan yang merangkumi intervensi lain. Para penulis ulasan bertujuan untuk menentukan kesan senaman terhadap kawalan gula darah dalam diabetes jenis 2.

Ulasan ini mendapati bahawa senaman boleh menambah baik kawalan gula darah dan kesan ini adalah nyata walaupun tanpa penurunan berat badan. Tambahan juga, senaman mengurangkan kandungan lemak badan, dengan itu kegagalan untuk menurunkan berat badan dengan program senaman mungkin dapat dijelaskan oleh penukaran lemak kepada otot. Senaman menambah baik tindak balas badan terhadap insulin dan mengurangkan lipid darah. Kualiti hidup hanya dinilai dalam satu kajian sahaja dan didapati tiada perbezaan antara kedua-dua kumpulan. Tiada perbezaan signifikan didapati antara kumpulan kolesterol darah atau tekanan darah. Sejumlah 14 kajian rawak terkawal telah dinilai. Ini termasuk 377 peserta dan kumpulan perbandingan yang berbeza hanya dengan intervensi program senaman. Tempoh intervensi dalam kajian tersebut adalah di antara lapan minggu hingga satu tahun. Dua kajian melaporkan maklumat susulan, satu kajian enam bulan selepas tamat enam bulan intervensi senaman dan satu lagi pada dua belas bulan selepas intervensi. Secara umumnya, kajian-kajian telah dilaksanakan dengan baik, tetapi pembutaan penilai hasil tidak dilaporkan walaupun semua kajian melaporkan bahawa perawakan dilakukan, sebilangan kecil memberi butir-butir kaedah.

Tiada kesan buruk dengan senaman yang dilaporkan. Kesan senaman terhadap komplikasi diabetes tidak dinilai dalam mana-mana kajian.

Tempoh kajian yang agak singkat menghalang laporan sebarang komplikasi signifikan jangka panjang atau kematian. Satu lagi limitasi adalah bilangan kecil peserta yang termasuk dalam analisis untuk adipositi, tekanan darah, kolesterol, otot badan dan kualiti hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan