Glukosamina untuk osteoartritis

Ringkasan sorotan Cochrane ini menunjukkan apa yang kita ketahui daripada kajian tentang kesan glukosamina terhadap osteoartritis.

Pesakit osteoartritis yang mengambil glukosamina:

- boleh mengurangkan sakit

- boleh menambah baik fungsi fizikal badan

- berkemungkinan tidak akan mengalami kesan sampingan

Apakah osteoartritis dan glukosamina?

Osteoartritis (OA) adalah sejenis artritis yang paling kerap berlaku yang boleh menjejaskan tangan, pinggul, bahu dan lutut. OA terjadi disebabkan rawan yang melindungi hujung tulang pecah lalu menghasilkan sakit dan bengkak. Rawatan dengan ubat dan tanpa ubat digunakan untuk mengurangkan sakit dan/atau bengkak.

Glukosamina boleh didapati secara semula jadi di dalam badan dan digunakan oleh badan sebagai salah satu blok binaan rawan. Glukosamina boleh juga diambil dalam bentuk pil sebagai makanan tambahan atau kadang kala dalam bentuk suntikan. Ia turut didatangkan dalam bentuk gabungan dengan makanan tambahan lain (seperti kondroitin) atau sendirian dalam bentuk glukosamina hidroklorida atau sulfat. Dos yang biasa disyorkan pada bungkusan adalah 1500 mg sehari atau 500 mg tiga kali sehari.

Di Eropah, glukosamina dipreskripsikan oleh petugas kesihatan. Namun, di Amerika Utara, orang awam dibenarkan membeli makanan tambahan glukosamina tanpa preskripsi. Ini bermakna, di Amerika Utara, glukosamina tidak dikawal dan jumlah kandungan dalam pil tersebut mungkin tidak seperti yang dipaparkan pada label.

Anggaran terbaik terhadap apa yang berlaku selepas kira-kira 6 bulan

Sakit: Kajian berkualiti tinggi menunjukkan bahawa kesakitan yang dialami oleh pesakit yang mengambil glukosamina berkurang pada kadar yang hampir sama dengan pesakit yang mengambil pil-pil palsu. Sekiranya kesemua kajian diambilkira (termasuk kajian berkualiti rendah dan terdahulu), kesimpulan dapat dibuat bahawa glukosamina lebih berkesan dalam mengurangkan sakit berbanding pil-pil palsu.

Pesakit yang mengambil pil-pil palsu mempunyai skor kesakitan 7 mata pada skala 0 hingga 100. Sakit mungkin berkurang dengan pertambahan 10 mata dengan pengambilan glukosamina berbanding pil-pil palsu.

Kajian yang hanya menguji glukosamina berjenama Rotta (termasuk kajian berkualiti rendah dan terdahulu) menunjukkan glukosamina lebih berkesan dalam mengurangkan sakit berbanding pil-pil palsu. Pesakit yang mengambil pil-pil palsu mempunyai skor kesakitan 6 mata pada skala 0 hingga 20. Pesakit yang yang mengambil glukosamina berjenama Rotta menilai sakit mereka 3 mata lebih rendah daripada pesakit yang tidak mengambil glukosamina.

Fungsi: Kajian berkualiti tinggi menunjukkan bahawa glukosamina menambah baik fungsi lebih daripada pil-pil palsu jika diukur dengan satu jenis skala tetapi kadar penambahbaikan adalah lebih kurang sama dengan pil-pil palsu jika diukur dengan skala yang lain.

Kajian yang hanya menguji glukosamina berjenama Rotta (termasuk kajian berkualiti rendah dan terdahulu) menunjukkan glukosamina menambah baik fungsi lebih daripada pil-pil palsu. Pesakit yang mengambil pil-pil palsu mempunyai skor fungsi 22 mata pada skala 0 hingga 68. Pesakit yang mengambil glukosamina berjenama Rotta berupaya menambah baik fungsi mereka sebanyak 2 mata berbanding yang tidak mengambil glukosamina.

Tidak ada perbezaan dalam bilangan pesakit yang mengalami kesan sampingan.Kesan sampingan utama termasuklah sakit perut dan sakit sendi yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nursyahirah Johari (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi nursyahirahjohari@gmail.com atau hayatikk@usm.my

Tools
Information