'Kangaroo mother care' atau jagaan ibu 'kangaroo' untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti dalam bayi kurang berat badan

Soalan kajian: Adakah Jagaan ibu "kangaroo" (KMC) mengurangkan morbiditi dan mortaliti bayi kurang berat badan?

Latar belakang: Penjagaan neonatal konvensional bagi bayi LBW (< 2500 g) adalah mahal dan memerlukan kakitangan berkemahiran tinggi serta sokongan logistik yang tetap. KMC telah dicadangkan sebagai alternatif kepada penjagaan neonatal konvensional untuk bayi LBW. Komponen utama KMC ialah sentuhan kulit-ke-kulit (SSC) diantara seorang ibu dan bayinya yang baru lahir. Dua komponen lain bagi KMC adalah kekerapan dan penyusuan ibu secara eksklusif atau hampir-hampir eksklusif serta cubaan untuk discaj awal dari hospital.

Ciri-ciri kajian: Kami telah mengenalpasti dua puluh satu kajian terkawal rawak (3042 bayi) untuk dimasukkan dalam ulasan ini melalui carian pangkalan data perubatan pada bulan Jun 2016.

Keputusan utama: Berbanding dengan penjagaan neonatal konvensional, KMC didapati mengurangkan kematian bayi pada masa discaj atau pada usia 40-41 minggu selepas haid serta pada lawatan susulan terkini. Selain daripada itu, KMC juga mengurangkan jangkitan kuman teruk/sepsis, jangkitan kuman nosokomial/sepsis, hipotermia, penyakit tenat, dan penyakit trek respiratori bawah. Tambahan, KMC menambahkan berat badan, panjang dan lilitan kepala, menyusu susu ibu sewaktu discaj atau pada umur 40 hingga 41 minggu selepas haid dan pada satu hingga tiga bulan susulan, kepuasan ibu dengan kaedah penjagaan bayi, ukuran pertalian ibu-bayi dan persekitaran rumah. Penyelidik-penyelidik mendapati tiada perbezaan dalam hasil perkembangan neuro dan sensori neuro pada usia 12 bulan (umur pembetulan).

Kualiti bukti: Kebanyakan hasil penting dan kritikal mempunyai bukti berkualiti sederhana.

Rumusan: KMC adalah penjagaan alternatif yang selamat dan berkesan berbanding penjagaan neonatal konvensional bagi bayi rendah berat badan, terutamanya di negara-negara dengan sumber terhad.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Sook Lee Foo (Penang Medical College). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor's University, Malaysia.Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan