Aktiviti fizikal untuk memperbaik kapasiti senaman dalam kalangan orang dengan fibrosis sista

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai sama ada intervensi aktiviti fizikal (termasuk senaman) mempunyai sebarang kesan ke atas kapasiti senaman, kualiti hidup berkaitan kesihatan dan fungsi paru-paru dalam kalangan orang dengan fibrosis sista (CF). Ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu.

Latar belakang

CF mempengaruhi banyak sistem dalam badan, tetapi terutamanya adalah pada paru-paru. Ia menyebabkan sesak nafas dan mengehadkan amaun senaman orang dengan CF boleh bertahan. Progres penyakit paru-paru menyebabkan keupayaan rendah untuk bersenam dan ketidakgiatan fizikal, yang seterusnya mempengaruhi kesihatan dan kualiti hidup berkaitan kesihatan. Kami mencari kajian-kajian di mana orang dengan CF terlibat dalam intervensi aktiviti fizikal (termasuk aktiviti jenis ketahanan seperti berjalan, berjoging, berenang dan berbasikal; atau latihan rintangan; atau gabungan kedua-duanya) berbanding kumpulan kawalan tanpa intervensi (penjagaan biasa).

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 3 Mac 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan 24 kajian, (875 peserta) dalam ulasan ini. Bilangan orang dalam setiap kajian adalah antara sembilan hingga 117 orang. Sesetengah kajian hanya melibatkan kanak-kanak, yang lain hanya orang dewasa, dan beberapa kajian melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa. Kajian-kajian termasuklah orang dengan pelbagai keparahan penyakit. Kajian-kajian menggunakan tahap penyeliaan yang berbeza dalam program latihan aktif mereka: dalam 12 kajian, peserta diselia; dalam 11 kajian, peserta diselia sebahagiannya; dan dalam satu kajian, peserta tidak diselia sama sekali. Program latihan aktif berlangsung sehingga dan termasuk enam bulan di dalam 14 kajian, dan lebih enam bulan dalam baki 10 kajian. Daripada 24 kajian yang disertakan, tujuh kajian ditambah tempoh susulan (apabila semua peserta kembali kepada penjagaan biasa, tetapi masih dibenarkan bersenam jika mereka mahu). Kualiti kajian yang disertakan berbeza-beza secara meluas.

Keputusan utama

Ulasan sistematik ini menunjukkan intervensi aktiviti fizikal selama lebih daripada enam bulan mungkin memperbaik kapasiti senaman dalam kalangan orang dengan CF. Apabila dibanding dengan tiada aktiviti, intervensi aktiviti fizikal mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada fungsi paru-paru dan kualiti hidup berkaitan kesihatan.

Kajian terbesar yang disertakan dalam ulasan ini (117 peserta) melaporkan:

- tiada perbezaan antara aktiviti fizikal dan kumpulan kawalan dalam bilangan eksaserbasi paru-paru (penyakit yang memuncak) (bukti kepastian tinggi);

- tiada perbezaan dalam masa untuk marak pertama selama 12 bulan (bukti kepastian tinggi);

- tiada kesan bermanfaat aktiviti fizikal terhadap kawalan diabetes selepas sembilan bulan (bukti kepastian sederhana).

Dua kajian (156 peserta) mendapati tiada perbezaan antara kumpulan dalam bilangan kejadian buruk yang dilaporkan (bukti kepastian rendah).

Untuk program latihan aktif yang berlangsung sehingga dan termasuk enam bulan, kesannya adalah serupa dengan program yang lebih lama.

Hanya tiga kajian yang menambah tempoh susulan (durasi yang berbeza-beza) melaporkan data yang boleh kami analisis tentang perubahan dalam kapasiti senaman dan fungsi paru-paru; dan hanya satu kajian melaporkan tentang kualiti hidup. Keputusan ini mesti ditafsirkan dengan berhati-hati.

Secara keseluruhan apabila dibanding dengan penjagaan biasa (tiada intervensi), aktiviti fizikal dan latihan senaman mungkin memberi kapasiti senaman yang sedikit lebih baik sementara ia mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas fungsi paru-paru dan kualiti hidup berkaitan kesihatan dalam kalangan orang dengan CF.

Kepastian bukti

Kami menyertakan 24 kajian. Memandangkan perbezaan kesan merentas kajian-kajian, variasi meluas dalam kualiti kajian dan kekurangan maklumat tentang perubahan klinikal yang bermakna untuk beberapa ukuran hasil, kami mempertimbangkan kepastian keseluruhan bukti kesan intervensi aktiviti fizikal terhadap kapasiti senaman, fungsi paru-paru dan kualiti hidup berkaitan kesihatan adalah rendah hingga sederhana. Kami tidak pasti tentang kesan yang telah dilihat dan kajian-kajian yang lebih berkualiti mungkin mengubah penemuan ini.

Faktor yang mempengaruhi kepastian kami termasuklah dalam lima kajian, ciri-ciri sesetengah orang yang mengambil bahagian adalah berbeza antara kumpulan pada permulaan kajian, walaupun orang telah dimasukkan ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza secara rawak.

Apabila akitivit fizikal intervensi dibanding dengan tiada intervensi, orang akan sentiasa tahu mereka berada dalam kumpulan yang mana satu. Walau bagaimanapun, kami tidak fikir orang yang tahu rawatan yang diterima akan mempengaruhi keputusan fungsi paru-paru selagi penilaian dibuat dengan betul. Sebaliknya, bias mungkin timbul apabila penyiasat yang menilai kapasiti senaman seseorang mengetahui kumpulan mana orang itu tergolong. Penyiasat cuba menghalang penilai hasil daripada mengetahui kumpulan peserta dalam 10 kajian yang disertakan.

Pelaporan selektif keputusan pilihan mungkin juga menjadi isu terutamanya kerana kebanyakan kajian yang disertakan tidak tersenarai dalam daftar kajian di mana hasil terperinci dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura ismail (MUCM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsoucd.edu.my

Tools
Information