Varnis berfluorida untuk mencegah karies gigi pada kanak-kanak dan remaja

Persoalan tinjauan

Persoalan utama yang ditumpu di dalam tinjauan ini adalah sejauh manakah penggunaan varnis berfluorida berkesan mencegah kerosakan gigi pada kanak-kanak dan remaja berbanding dengan plasebo (rawatan tanpa bahan aktif iaitu fluorida) atau tanpa rawatan.

Latarbelakang

Reputan gigi (karies gigi) adalah masalah kesihatan yang signifikan di seluruh dunia. Ia terkesan bukan sahaja kepada sebahagian besar orang dewasa tetapi juga kanak-kanak, dari 60% hingga 90% daripada mereka. Dalam perkataan lain, enam hingga sembilan daripada 10 kanak-kanak terkesan oleh kerosakan gigi. Tahap kerosakan gigi berbeza-beza di antara dan dalam negara-negara yang berbeza, tetapi ia biasanya benar bahawa kanak-kanak dalam kumpulan sosio-ekonomi yang rendah (diukur dengan pendapatan, pendidikan dan pekerjaan) mempunyai tahap kerosakan gigi yang lebih tinggi. Kerosakan gigi yang tidak dirawat menyebabkan kemusnahan mahkota gigi (korona) secara progresif dan ini sering disertai dengan sakit yang teruk dan penderitaan. Kos pemulihan dan penggantian gigi reput adalah sangat mahal dari segi masa dan kewangan dan adalah penyalir keluar utama sumber-sumber sistem penjagaan kesihatan.

Pencegahan karies gigi pada kanak-kanak dan remaja dianggap sebagai satu keutamaan bagi perkhidmatan pergigian dan dianggap lebih kos efektif berbanding rawatan. Fluorida adalah mineral yang mencegah kerosakan gigi. Fluorida dicampur ke dalam bekalan air di banyak kawasan. Ia juga boleh sapu secara langsung kepada gigi dalam bentuk varnis berfluorida. Sapuan pada kegigian pertama (kanak-kanak) dan kekal (bergantung kepada umur kanak-kanak) biasanya dilakukan oleh pengamal pergigian di antara dua hingga empat kali setahun. Disebabkan ia kekal pada permukaan gigi untuk tempoh yang agak lama ia mengeluarkan fluorida secara cekap dan berkesan.

Ciri-ciri kajian

Tinjauan ke atas kajian-kajian ini telah dijalankan oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane dan bukti semasa adalah sehingga 13 May 2013.Tinjauan dikemaskini ini mengandungi 22 ujian yang telah diterbitkan di antara 1975 dan 2012 yang mana sejumlah 12,455 kanak-kanak telah dirawak untuk dirawat samada dengan varnish berflorida atau plasebo/tanpa rawatan. Tempoh kajian berjulat di antara satu hingga lima tahun di antara ujian yang dimasukkan (12 telah berlangsung selama 2 tahun).

Keputusan utama

Bukti yang diperolehi didapati berkualiti sederhana disebabkan terdapat isu rekabentuk kajian. Bagaimanapun, daripada 13 ujian yang ke atas kanak-kanak dan remaja dengan kegigian kekal, tinjauan ini mendapati bahawa golongan muda yang dirawat dengan varnis berflorida mengalami penurunan dalam kerosakan, kehilangan dan tampalan permukaan gigi secara purata sebanyak 43%. Daripada 10 ujian yang melihat kepada kesan varnish berflorida ke atas kegigian pertama atau kanak-kanak mencadangkan 37% penurunan dalam kerosakan, kehilangan dan tampalan permukaan gigi. Terdapat kurang maklumat mengenai potensi berlaku kesan buruk atau kebolehterimaan rawatan.

Kualiti bukti.

Bukti yang bentangkan adalah berkualiti sederhana disebabkan terdapat isu rekabentuk kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Basaruddin Ahmad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi basaruddin@usm.my. Disunting oleh Nai Ming Lai (Taylor's University Lakeside Campus; lainm123@gmail.com)

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan