Pendekatan pemulihan fizikal untuk pemulihan fungsi, keseimbangan dan berjalan selepas strok

Soalan

Kami ingin mengetahui sama ada pendekatan rehabilitasi fizikal berkesan dalam pemulihan fungsi dan mobiliti pada orang yang mengalami strok, dan jika mana-mana satu pendekatan rehabilitasi fizikal lebih berkesan daripada pendekatan lain.

Latar belakang

Strok boleh menyebabkan lumpuh pada beberapa bahagian badan dan kesukaran dengan pelbagai fungsi fizikal. Rehabilitasi fizikal adalah bahagian penting dalam rehabilitasi bagi orang yang mengalami strok. Selama bertahun-tahun, pelbagai pendekatan untuk rehabilitasi fizikal telah dibangunkan, mengikut idea yang berbeza tentang bagaimana orang pulih selepas strok. Selalunya ahli fisioterapi akan mengikuti satu pendekatan tertentu, dengan mengecualikan pendekatan lain, tetapi amalan ini secara amnya berdasarkan pilihan peribadi dan bukannya rasional saintifik. Perdebatan masih berterusan dalam kalangan ahli fisioterapi tentang faedah relatif pendekatan yang berbeza; oleh itu adalah penting untuk mengumpulkan bukti penyelidikan dan menyerlahkan amalan terbaik dalam memilih pendekatan yang berbeza ini.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 96 kajian, sehingga Disember 2012, untuk disertakan dalam ulasan. Kajian tersebut, yang melibatkan 10,401 pesakit strok yang terselamat, menyiasat pendekatan rehabilitasi fizikal yang bertujuan untuk menggalakkan pemulihan fungsi atau mobiliti dalam peserta dewasa dengan diagnosis klinikal strok berbanding dengan tanpa rawatan, penjagaan biasa atau kawalan perhatian atau dalam perbandingan pendekatan rehabilitasi fizikal yang berbeza. Purata bilangan peserta dalam setiap kajian ialah 105: kebanyakan kajian (93%) termasuk kurang daripada 200 peserta, satu kajian mempunyai lebih daripada 1000 peserta, enam mempunyai antara 250 dan 1000 peserta dan 10 mempunyai 20 atau kurang peserta. Hasil termasuk ukuran berdikari dalam aktiviti kehidupan harian (ADL), fungsi motor (pergerakan fungsian), keseimbangan, kelajuan berjalan dan tempoh tinggal. Lebih separuh daripada kajian (50/96) telah dijalankan di China. Kajian tersebut menunjukkan banyak perbezaan berhubung dengan jenis strok dan keterukannya, serta perbezaan dalam rawatan, yang berbeza mengikut kedua-dua jenis rawatan dan tempoh.

Keputusan utama

Ulasan ini mengumpulkan bukti yang mengesahkan bahawa rehabilitasi fizikal (selalunya disampaikan oleh ahli fisioterapi, ahli terapi fizikal atau ahli terapi rehabilitasi) boleh meningkatkan fungsi, keseimbangan dan berjalan selepas strok. Ia kelihatan paling berfaedah apabila ahli terapi memilih campuran rawatan yang berbeza untuk pesakit individu daripada pelbagai rawatan yang sedia ada.

Kami dapat menggabungkan hasil daripada 27 kajian (3243 pesakit strok yang terselamat) yang membandingkan rehabilitasi fizikal dengan tiada rawatan. Dua puluh lima daripada 27 kajian ini dijalankan di China. Keputusan menunjukkan bahawa pemulihan fizikal meningkatkan pemulihan fungsi, dan peningkatan ini mungkin bertahan dalam jangka panjang. Apabila kami melihat kajian yang membandingkan rehabilitasi fizikal tambahan berbanding penjagaan biasa atau intervensi kawalan, kami menemui bukti yang menunjukkan bahawa rawatan fizikal tambahan meningkatkan fungsi motor (12 kajian, 887 pesakit strok yang terselamat), keseimbangan berdiri (lima kajian, 246 pesakit strok yang terselamat) dan kelajuan berjalan (14 kajian, 1126 pesakit strok yang terselamat). Bukti yang sangat terhad mencadangkan bahawa, untuk perbandingan rehabilitasi fizikal dengan tiada rawatan dan dengan penjagaan biasa, rawatan yang kelihatan berkesan diberikan antara 30 dan 60 minit sehari, lima hingga tujuh hari seminggu, tetapi kajian lanjut adalah diperlukan untuk mengesahkan ini. Kami juga menemui bukti tentang manfaat yang lebih besar yang dikaitkan dengan masa yang lebih singkat sejak strok, tetapi kajian lanjut juga diperlukan untuk mengesahkan ini.

Kami menemui bukti yang menunjukkan bahawa tiada satu pendekatan rehabilitasi fizikal yang lebih berkesan daripada pendekatan lain. Penemuan ini bermakna bahawa ahli fisioterapi harus memilih rawatan untuk setiap pesakit mengikut bukti yang ada untuk rawatan khusus itu, dan tidak harus mengehadkan amalan mereka kepada pendekatan tunggal yang 'dinamakan'.

Kualiti bukti

Sukar untuk kami menilai kualiti bukti kerana kami mendapati pelaporan maklumat yang lemah, tidak lengkap atau ringkas. Kami menentukan bahawa kurang daripada 50% kajian adalah berkualiti, dan bagi kebanyakan kajian, kualiti bukti adalah tidak jelas berdasarkan maklumat yang diberikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information