Sealan untuk mencegah kerosakan gigi kekal

Soalan sorotan

Bolehkan sealan mencegah kerosakan gigi kekal dan apakah kesan pelbagai jenis sealan?

Latar belakang

Walaupun kanak-kanak dan remaja mempunyai gigi yang lebih sihat berbanding masa lalu, kerosakan gigi merupakan masalah kepada orang dan di tempat tertentu. Kebanyakan kerosakan gigi dalam kalangan orang muda terjadi pada permukaan kunyahan gigi belakang. Pencegahan kerosakan gigi termasuklah memberus, tambahan fluorida (misalnya tablet), fluorida yang diaplikasi terus pada gigi dan sealan pergigian. Sealan pergigian bertujuan mencegah pembiakan bakteria yang menyebabkann kerosakan gigi di alur gigi-gigi belakang. Sealan diaplikasi oleh doktor pergigian atau ahli pasukan penjagaan pergigian. Jenis utama adalah sealan berasaskan resin dan simen ionomer kaca.

Ciri kajian

Kami memasukkan 38 kajian yang melibatkan 7924 orang muda (berumur 5 hingga 16 tahun) yang mana pelbagai jenis sealan telah digunakan untuk mencegah kerosakan gigi. Orang-orang muda dalam kajian ini mewakili populasi umum.

Ulasan ini termasuklah kajian sedia ada dari carian literatur sehingga 3 Ogos 2016. Kami menilai semua kajian sebagai berisiko bias tinggi kerana profesional yang mengukur hasil dapat melihat sama ada sealan telah digunakan.

Keputusan utama

Lima belas kajian membandingkan sealan berasaskan resin dengan tiada sealan dan mendapati kanak-kanak yang diaplikasi sealan pada gigi belakang kurang berkemungkinan rosak gigi belakang berbanding dengan kanak-kanak yang tidak diaplikasi sealan. Kami menggabungkan data dari tujuh kajian (termasuk dua yang diterbitkan sejak 2010), yang melibatkan kanak-kanak berumur 5 hingga 10 tahun semasa sealan diaplikasi. Ini menunjukkan bahawa jika 40% gigi belakang menjadi rosak dalam tempoh 24 bulan, penggunaan sealan telah mengurangkan kerosakan kepada 6%. Manfaat yang sama ditunjukkan oleh sealan berasaskan resin sehingga empat tahun. Kesan ini berlanjutan apabila diukur sehingga sembilan tahun, tetapi terdapat kurang bukti.

Tiada keputusan muktamad diperolehi apabila simen ionomer kaca dibandingkan dengan tiada sealan dan apabila satu jenis bahan sealan dibandingkan dengan yang lain.

Empat kajian menilai kemungkinan masalah dengan penggunaan sealan; tiada yang dilaporkan.

Kualiti bukti

Kami mendapati bukti berkualiti sederhana bahawa sealan berasaskan resin lebih berkesan berbanding tiada sealan untuk mencegah kerosakan gigi, dengan pengurangan di antara 11% dan 51% lebih berbanding kanak-kanak tanpa sealan (diukur dua tahun selepas aplikasi). 'Kualiti sederhana' bermaksud kami agak pasti tentang dapatan ini, walaupun mungkin penyelidikan lanjutan boleh mengubahnya. Kebanyakan kajian yang dimasukkan dalam analisis ini telah dijalankan dalam tahun 1970an. Kami tidak dapat membuat rumusan tentang perbandingan-perbandingan lain yang dimasukkan dalam sorotan ini kerana bukti sedia ada berkualiti rendah. Lebih banyak kajian dengan susulan jangka panjang diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save