Bisphosphonate bagi merawat osteoporosis yang disebabkan oleh penggunaan steroid

Latar belakang

Steroid (glukokortikosteroid) digunakan secara meluas untuk merawat keradangan. Kehilangan tulang (osteoporosis) dan keretakan tulang belakang merupakan kesan sampingan yang serius akibat terapi ini. Bisphosphonates dianggap sebagai rawatan barisan pertama untuk osteoporosis dan telah digunakan sejak 1990-an.

Kaedah-kaedah

Penulis mengkaji penyelidikan yang diterbitkan sehingga April 2016 dan mendapati sejumlah 27 ujian yang layak, dan melibatkan 3075 dewasa dengan penyakit keradangan yang memerlukan rawatan steroid untuk sekurang-kurangnya satu tahun. Mereka dibahagikan secara rawak untuk menerima rawatan bisphosphonate (sahaja atau dengan kalsium atau vitamin D, atau kedua-duanya) atau 'tiada rawatan' (diberikan kalsium atau vitamin D atau plasebo). Objektif penulis adalah untuk menentukan manfaat dan kemudaratan bisphosphonate bagi orang dewasa yang menjalani terapi steroid jangka panjang.

Hasil utama

Keretakan tulang belakang baru (12 hingga 24 bulan)

Terdapat 12 kajian melibatkan 1343 orang dalam analisis ini. Kami mendapati bahawa 77 bagi setiap 1000 orang tanpa rawatan mengalami keretakan tulang belakang baru berbanding 44 bagi setiap 1000 (julat 27 hingga 70) orang yang mengambil bisphosphonate; terdapat faedah mutlak dengan 2% kurang orang (kurang 5% hingga lebih 1%) mengalami keretakan tulang apabila mengambil bisphosphonate.

Hampir 31 orang (julat 20 hingga145) perlu dirawat dengan bisphosphonate untuk mengelakkan keretakan tulang belakang pada seseorang.

Keretakan bukan tulang-belakang baru (12 hingga 24 bulan)

Terdapat sembilan kajian melibatkan 1245 orang dalam analisis ini. Kami mendapati bahawa 55 bagi setiap 1000 orang tanpa rawatan mengalami keretakan bukan tulang-belakang baru berbanding 42 bagi setiap 1000 (julat 25 hingga 69) orang yang mengambil bisphosphonate; terdapat faedah mutlak dengan 1% kurang orang (kurang 4% hingga lebih 1%) mengalami keretakan bukan tulang-belakang apabila mengambil bisphosphonates.

Ketumpatan mineral tulang pada tulang belakang lumbar (BMD) pada 12 bulan

Terdapat 23 kajian melibatkan 2042 orang untuk hasil kajian ini. Kami mendapati bahawa BMD tulang belakang lumbar orang yang mengambil bisphosphonate 3.50% lebih tinggi (2.90% hingga 4.10% lebih tinggi) daripada orang yang tidak menjalani rawatan.

Hampir tiga orang (julat 2 hingga 3) perlu dirawat dengan bisphosphonate selama 12 bulan untuk seseorang dapat melihat perbezaan minimal penting dalam BMD pada tulang belakang lumbar.

BMD leher femoral (atas tulang paha) pada 12 bulan

Terdapat 18 kajian melibatkan 1665 orang untuk hasil kajian ini. Kami mendapati bahawa BMD pada leher femoral 2.06% lebih tinggi dalam kumpulan bisphosphonate (1.45% hingga lebih 2.68%) daripada orang tanpa rawatan.

Hampir lima orang (julat 4 hingga 7) perlu dirawat dengan bisphosphonate selama 12 bulan untuk seseorang dapat melihat perbezaan minimal penting dalam BMD pada bahagian leher femoral.

Kesan buruk yang serius (memerlukan kemasukan ke hospital, mengancam kehidupan atau kematian)

Terdapat 15 kajian melibatkan 1703 orang untuk hasil kajian ini. Penulis mendapati bahawa 162 bagi setiap 1000 orang tanpa rawatan mengalami kesan buruk yang serius berbanding 147 bagi setiap 1000 (julat 120 hingga 181) yang mengambil bisphosphonate; terdapat peningkatan mutlak kemudaratan dengan 0% lebih kesan serius (kurang 2% hingga lebih 2%) dengan bisphosphonate.

Penarikan diri disebabkan oleh kesan buruk

Terdapat 15 kajian melibatkan 1790 orang untuk hasil kajian ini. Kami mendapati bahawa 73 bagi setiap 1000 orang tanpa rawatan menarik diri berbanding dengan 77 setiap 1000 (julat 56 hingga 107) orang yang mengambil bisphosphonate; peningkatan kemudaratan mutlak sebanyak 1% lebih penarikan diri disebabkan oleh kesan buruk (kurang 1% hingga lebih 3%) dengan bisphosphonate.

Kesimpulan penulis

Berdasarkan bukti-bukti berkepastian sederhana hingga tinggi, penulis mendapati bahawa bisphosphonate adalah bermanfaat dalam mencegah keretakan tulang belakang baru dan mencegah serta merawat kehilangan tulang pada lumbar tulang belakang dan leher femoral yang disebabkan oleh steroid. Untuk mencegah keretakan bukan tulang-belakang pula, penulis mendapati sedikit atau tiada perbezaan sama ada pesakit menggunakan bisphosphonates atau tidak, walaupun bukti-bukti adalah berkepastian rendah kerana kaedah yang digunakan untuk menilai keretakan bukan tulang-belakang tertakluk kepada bias.

Penulis mendapati bahawa tiada atau sedikit perbezaan dalam bilangan kesan buruk serius atau penarikan diri disebabkan oleh kesan buruk apabila membandingkan bisphosphonates dengan tiada rawatan. Bukti bagi hasil kajian tersebut adalah berkepastian rendah dan penulis berhati-hati dalam membuat kesimpulan yang kukuh tentang kemudaratan bisphosphonate yang hanya berdasarkan hasil ukuran ini.

Secara keseluruhannya, ulasan penulis menyokong penggunaan bisphosphonate untuk mengurangkan risiko keretakan tulang belakang dan dalam aspek pencegahan dan rawatan kehilangan tulang berpunca dari steroid.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save