Latihan pernafasan untuk asma

Latar Belakang

Asma merupakan sejenis penyakit paru-paru yang terdiri daripada radang paru-paru serta pengetatan tiub-tiub pernafasan kecil dalam salur pernafasan (dikenali sebagai penghalangan saluran pernafasan), yang berlaku akibat tindakbalas badan terhadap pencetus asma seperti bulu haiwan dan debunga (juga dikenali sebagai tindak balas bronkial). Kelaziman asma yang tinggi di seluruh dunia merupakan satu masalah kesihatan awam yang utama disebabkan oleh kos perubatan rawatan yang tinggi termasuklah kos kemasukan wad dan ubat-ubatan. Latihan pernafasan merupakan satu intervensi bukan farmakologi yang telah digunakan secara rutin dalam rawatan pesakit asma.Latihan pernafasan bertujuan untuk mengawal gejala-gejala hiperventilasi asma serta boleh dilakukan melalui beberapa kaedah seperti Kaedah Papworth, teknik pernafasan Buteyko, yoga atau intervensi yang lain yang dapat memanipulasi corak pernafasan.

Soalan kajian

Kami hendak melihat kepada bukti yang sedia ada tentang keberkesanan latihan pernafasan di kalangan orang dewasa yang menghidap penyakit asma.

Hasil utama

Kami menemui 13 kajian yang melibatkan 906 orang dewasa yang mempunyai asma bertahap ringan sehingga sederhana. Sejumlah 11 kajian telah membandingkan latihan pernafasan dengan kumpulan kawalan yang tidak aktif, serta juga dengan kumpulan kawalan pendidikan asma. Keseluruhannya, terdapat peningkatan kualiti hidup, gejala-gelaja asma dan jumlah serangan asma telah dilaporkan. Enam daripada 11 kajian yang menilai fungsi paru-paru telah menunjukkan perbezaan yang ketara yang memihak kepada latihan pernafasan. Tiada kesan buruk berkaitan dengan intervensi yang telah diterangkan, yang menunjukkan bahawa intervensi ini selamat dan baik diterima oleh mereka yang menghidap penyakit asma.

Kualiti bukti

Kajian percubaan yang terlibat adalah berbeza dari segi jenis latihan pernafasan yang dilakukan, jumlah peserta yang terlibat, jumlah dan tempoh masa sesi-sesi yang selesai, hasil yang dilaporkan serta perbentangan statistik data. Oleh sebab itu, kami tidak dapat membandingkan keputusan dalam ujian-ujian ini dengan menggunakan meta-analisis untuk kesemua hasil pendapatan. Meta-analisis hanya dapat dijalankan bagi dua hasil keputusan (gejala-gejala asma dan perubahan dalam Asthma Quality of Life Questionnaire-AQLQ), yang dilaporkan dalam dua kajian. Kedua-dua keputusan meta-analysis menunjukkan perbezaan yang ketara yang memihak kepada latihan pernafasan. Kaedah yang digunakan dalam menjalani kajian-kajian ini tidak dilaporkan sebaik yang kami jangka. Oleh yang demikian, kualiti kajian-kajian ini tidak dijelaskan. Keseluruhannya, kualiti bukti-bukti yang terlibat dalam ulasan ini adalah amat rendah.

Kesimpulan

Walaupun kajian-kajian individu telah melaporkan kebaikan latihan pernafasan, tiada bukti yang kukuh di dalam ulasan ini yang menyokong atau melawan keberkesanan intervensi seperti ini di dalam rawatan pesakit asma di kalangan orang dewasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Yap Kar Suan (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi yapkarsuan@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save